Sukan

Pan Gon masih ‘slow’ dan beri peluang

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon berkata dia perlu memahami alasan pemain yang menolak pelawaannya untuk menyertai latihan pusat skuad Harimau Malaya sebelum mengambil sebarang tindakan susulan.

Mengakui tidak mengetahui dengan jelas alasan yang diberikan pemain, pengendali dari Korea Selatan itu enggan terburu-buru atau terus bersikap tegas dalam mengambil sebarang tindakan.

Malah, bekas pengendali skuad kebangsaan Hong Kong itu turut berkata bahawa masih banyak perkara yang dia perlu belajar termasuk mengenai budaya di negara ini.

Perkara ini agak sensitif tetapi saya cuba untuk memahaminya terlebih dahulu kerana saya masih baharu di sini. Saya tidak tahu latar belakang mereka (pemain), jadi kami perlu mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

Saya boleh bertindak tegas tetapi perkara itu biarlah dilakukan kemudian. Setiap pemain amat penting dan saya perlu mengetahui sebabnya (menolak panggilan skuad kebangsaan) terlebih dahulu.

“Banyak perkara yang saya perlu belajar di sini termasuk budaya tempatan. Saya pun tidak mahu terlalu fokus kepada perkara ini sebaliknya fokus kepada apa yang perlu kami lakukan untuk membentuk pasukan,” katanya.

Semalam, BH Sukan melaporkan pemain pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali boleh dikenakan hukuman berat termasuk penggantungan dan denda sekiranya didapati menolak panggilan skuad kebangsaan tanpa alasan kukuh.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, buat masa ini pihaknya tidak boleh mengambil apa-apa tindakan kerana kem latihan pusat masih berlangsung di luar tarikh aksi ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Katanya, tarikh FIFA adalah 21 Mac dan jika sehingga tarikh itu Rizal tidak menghadirkan diri, pihaknya akan membawa perkara berkenaan kepada Jawatankuasa Tatatertib kerana mereka yang akan menentukan bentuk tindakan yang perlu.

Malah, Rizal juga sepatutnya mengemukakan surat kepada FAM dan menyatakan alasan terpaksa menolak panggilan dari skuad kebangsaan.

sumber;- BH

Skuad Harimau Malaya dalam persiapan untuk menghadapi tiga aksi persahabatan berdepan Filipina pada 23 Mac ini, sebelum menentang Singapura (26 Mac) dan Albirex Niigata Singapura (28 Mac) dengan semua perlawanan akan berlangsung di Singapura.