Mentaliti kemenangan atau winning mentality antara fokus utama yang menjadi perhatian pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon yang mahukan semua pemainnya dahagakan kejayaan dalam setiap aksi diharungi.

Namun untuk pastikan objektif itu tercapai, ia tidak boleh diraih dalam dalam jangka waktu yang singkat.

Lantas, Pan Gon akan senantiasa memantau perkembangan saingan Liga Malaysia (Liga M) dengan terus menilai prestasi setiap pemain tanpa mengehadkan kelompok pemain tertentu sahaja.

Kita mahu wujudkan pasukan yang dahagakan kemenangan dalam setiap perlawanan dan ia perlukan masa.

“Selepas kem ini sehingga Jun, kami mempunyai banyak peluang untuk melihat perlawanan liga setiap minggu, jadi kami mungkin mendapatkan maklumat yang lebih banyak mengenai pemain dari semasa ke semasa,” katanya.

Ujarnya lagi, ketika ini hampir 70 pemain berada dalam senarai pemerhatiannya, namun itu tidak bermakna pemain lain akan disisihkan.

Kami mengenal pasti hampir 70 pemain sebelum mengurangkannya kepada pemain-pemain yang kami percaya sesuai dengan falsafah permainan dan pelan taktikal kami.

“Kami tidak mungkin 100 peratus tepat, tetapi kami akan menganalisa keupayaan mereka dari segi teknikal, taktikal dan tingkah laku profesionalisme,” kata jurulatih dari Korea Selatan itu.

Beliau juga yakin apabila lebih banyak perlawanan yang disaksikan, barisan kejurulatihan baharu Harimau Malaya akan lebih mudah untuk mengenal pasti para pemain yang dirasakan sesuai dengan penerapan taktikal pasukan.

Untuk latihan pusat yang akan bermula Isnin ini, Pan Gon menyenaraikan 30 pemain bagi menghadapi dua aksi persahabatan Tier 1 hujung bulan ini.

Dua perlawanan itu adalah ujian pertama bekas jurulatih kebangsaan Hong Kong itu selepas dilantik bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang melepaskan jawatannya Januari lalu.

Skuad negara dijadual menentang Filipina pada 23 Mac sebelum bertemu Singapura tiga hari kemudian dengan kedua-dua aksi berlangsung di Stadium Nasional Singapura.

sumber:- HM

Perlawanan berkenaan adalah sebahagian persiapan untuk menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 di Kuala Lumpur pada Jun ini, di mana Malaysia di letakkan dalam Kumpulan E bersama Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh.