Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menepati ramalan mara ke pusingan kedua Piala FA selepas menewaskan skuad Liga M3, Sains FC 4-0 di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Skuad Sang Kenari kendalian Aidil Sharin Sahak yang menyenaraikan lebih ramai pemain muda tidak menunggu lama untuk membolosi gawang kelab dari Negeri Sembilan itu menerusi larian pantas pemain sayap, Fayadh Zulkifli sebelum merembat kencang untuk menewaskan penjaga gol, Jibrail Kamaron Baharin pada minit ke-18.

Kedah yang lebih mendominasi perlawanan melakukan beberapa percubaan dan gerakan bahaya daripada Aiman Afif dan Fayadh, namun tindakan Sains FC memperkemaskan benteng mereka selepas dibolosi sedikit menyukarkan Kedah bergerak bebas di ruang hadapan gol hingga ke penghujung babak pertama.

Kedah bagaimanapun tampil lebih garang sebaik babak kedua bersambung apabila Fayadh menjaringkan gol kedua, dua minit selepas perlawanan bermula hasil dari rembatan kencang.

Belum sempat Sains FC meredakan keadaan, Kedah sekali lagi menghukum skuad kendalian Leong Hong Seng itu dengan gol ketiga menerusi percubaan Ameer Azahar pada minit ke-50.

Walaupun sudah mendahului selesa, Kedah terus menekan benteng pelawat dan ia berhasil apabila Ameer sekali lagi menggegar gawang pelawat menerusi sepakan percuma pada minit ke-59.

sumber:- BH

Kedudukan 4-0 itu kekal hingga tamat perlawanan.