Sukan

Kedah bakal buat perubahan malam esok

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bakal memberi peluang kepada barisan pemain mudanya pada perlawanan pusingan pertama aksi Piala FA musim ini men3ntang skuad Liga M3 Sains FC di Stadium Darul Aman malam esok.

Berbekalkan motivasi selepas mencapai dua kemenangan dalam aksi Liga Super sebelum ini, skuad Sang Kenari dijangka memberi peluang ‘muka baharu’ yang lebih segar dan sebelum ini berada di bangku simpanan.

Ketua Jurulatih KDA FC Aidil Sharin Sahak berkata, beliau sedar ramai pemain muda dalam pasukannya kini cukup bersemangat untuk membuktikan kemampuan masing-masing dan sedang bekerja keras agar dipilih berada dalam kesebelasan utama pasukan.

Saya lihat pemain-pemain muda Kedah menunjukkan usaha mereka yang gigih bagi memastikan mereka bersedia untuk beraksi bersama pasukan apabila diperlukan.

“Pada aksi kali ini, lebih 50 peratus pemain yang telah beraksi dalam perlawanan sebelum ini berkemungkinan akan diganti dengan pemain lain yang lebih ‘fresh’ dan juga pemain muda.

“Jadi saya yakin mereka dapat menggalas tugas yang dirancang dan melaksanakan tugas seperti yang kami rancang untuk aksi pertama saingan Piala FA buat Kedah pada kali ini.” katanya.

Aidil juga berkata beliau tidak mahu pemainnya mengambil mudah setiap cabaran yang akan dilalui pasukan apabila menentang skuad dari Liga M3 yang disifatkannya tetap berisiko.

“Usah ambil ringan dengan kemampuan yang ada pada pihak lawan walaupun dari liga berbeza, namun mereka mampu bekerja keras dan boleh melakukan kejutan.

“Bagi pasukan Kedah, kita mahu teruskan momentum kemenangan dan di masa yang sama memberi peluang kepada lebih ramai pemain dalam pasukan meningkatkan kemampuan mereka pada musim ini.” katanya.

sumber:- HM

KDA FC yang sebelum ini (Kedah FA) adalah penyandang juara Piala FA 2019 memiliki beberapa bakat muda yang sedang digilap pada musim ini, antaranya pemain barisan hadapan muda Aiman Afif, Fikhri Zulkiflee dan Afeeq Iqmal, pemain pertahanan Heshamudin Ahmad, Fareez Fadzil dan Kamil Akmal.