Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan bahawa beliau akan menaja kos penanaman rumput baharu di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menjelaskan rumput jenis Zeon Zoysia itu sebagai hadiah kepada gelanggang rasmi pasukan kebangsaan, Harimau Malaya.

Perkembangan itu dimaklumkan TMJ dalam kenyataan di Facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers dengan jenis rumput berkenaan sama dengan yang digunakan di stadium milik Harimau Selatan, Stadium Sultan Ibrahim.

Saya telah mengarahkan pengurusan JDT untuk membantu Perbadanan Stadium Malaysia bagi memastikan Stadium Nasional mempunyai padang yang kualitinya layak untuk perlawanan bola sepak antarabangsa.

“Bagaimanapun, saya ingin meminta pihak berkuasa stadium untuk memastikan padang itu dijaga dengan rapi dan semua penggunaan bukan sukan hanya dilakukan jikalau langkah-langkah yang sesuai dilakukan bagi memastikan padang berkenaan tidak rosak,” katanya.

Stadium Nasional bakal digunakan sebagai gelanggang bagi aksi kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun depan selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memilih Malaysia sebagai salah satu daripada enam negara tuan rumah untuk kejohanan itu.

sumber:- BH

Selain Malaysia, AFC turut menyenaraikan India, Kuwait, Kyrgyzstan, Mongolia dan Uzbekistan sebagai tuan rumah bagi kelayakan bagi menentukan pasukan yang akan mara ke pusingan akhir yang akan diadakan di China.