Isu kerapuhan benteng skuad Kuala Lumpur City (KL City) yang dibolosi enam gol dalam dua perlawanan Liga Super jelas mengecewakan ketua jurulatihnya, Bojan Hodak.
Justeru, jurulatih kelahiran Croatia itu menegaskan akan mengambil tindakan drastik bagi memperbaiki kelemahan benteng itu dan secara berseloroh bertanya adakah dia perlu membawa rotan ke padang latihan untuk memperbaiki kelemahan itu.
Adakah kamu fikir perlu bawa rotan ke padang latihan? Sudah pasti saya akan lebih ‘lemah lembut’ dan ‘mesra’ di padang latihan nanti.
Saya kecewa kerana kami dibolosi enam gol dalam dua perlawanan sedangkan pertahanan kami antara yang mantap musim lalu.
Namun kami tidak menyangka kami dibolosi dengan mudah banyak gol di awal permulaan liga kali ini dan inilah perkara yang perlu kami perbaiki, katanya selepas KL City tewas 2-3 kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman semalam.
Ia adalah kali kedua berturut-turut gawang KL City dibolosi tiga gol selepas Selangor FC tiga kali merobek gawang mereka minggu lalu.
Hodak bagaimanapun tetap melahirkan keyakinan dan optimis dapat mengatasi masalah yang dihadapi ini sebelum ‘melarat’ ke perlawanan seterusnya.
Memang kami jangkakan selepas menjuarai Piala Malaysia, kami menjadi sasaran semua pasukan dan ia adalah normal untuk mana-mana pasukan.
Kami menjaringkan lima gol dan bolos enam gol dengan cuma mengutip satu mata sahaja, jadi kita boleh tahu di mana punca masalahnya.
“Saya bagaimanapun tetap yakin dalam menyelesaikan masalah kelemahan pertahanan dengan lebihkan fokus di bahagian pertahanan ini dalam latihan selepas ini”. katanya.
sumber:- BH
Bersasarkan rekod, KL City adalah pasukan yang memiliki antara pertahanan terbaik dalam saingan liga musim lalu dengan hanya dibolosi 20 gol dan empat gol dalam saingan Piala Malaysia.