Tiada lagi bayangan striker naturalisasi, Guilherme de Paula apabila pengendali negara, Kim Pan-gon mengetepikan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu buat pertama kalinya sejak semusim lalu.

De Paula yang sebelum ini sering menjadi pilihan barisan kejurulatihan kebangsaan ketika di bawah kendalian Tan Cheng Hoe, nampaknya gagal mempengaruhi Pan-gon yang dilantik pada bulan lalu bagi membimbing skuad Harimau Malaya.

Begitupun menurut jurulatih dari Korea Selatan itu, ketiadaan pemain itu bukan disebabkan tidak bagus atau mendengar dari kritikan peminat, tetapi ia lebih kepada taktikal permainan yang mahu diterapkan olehnya.

Seperti saya katakan, prinsip saya adalah saya tak suka memberi komen mengenai individu. Saya lebih melihat kepada taktikal dan strategi, dan pemilihan ini perlu disesuaikan dengan permainan yang mahu kita terapkan.

“Ada pemain yang cedera dan ada pemain yang belum sedia, jadi tidak perlu untuk saya jelaskan lebih mendalam mengenainya, tetapi cukuplah ia sesuai dengan pasukan buat masa ini, dan mungkin untuk masa depan, kita tidak tahu,” katanya pada sidang media pengumuman 30 pemain yang dipanggil untuk latihan pusat bermula Isnin ini.

Dalam senarai itu, Pan-gon turut membuat kejutan apabila kembali menyenaraikan bekas ketua pasukan negara, Safiq Rahim yang kali terakhir menyarung jersi Harimau Malaya pada 2018 lalu.

Selain itu, seramai 14 pemain JDT termasuk Safiq dipanggil bagi memperkuatkan cabaran skuad kebangsaan menjelang dua aksi persahabatan kelas 1 menentang Filipina pada 23 Mac ini serta Singapura tiga hari kemudian yang dijadual berlangsung di Singapura.

Jelas Pan-gon lagi, 30 pemain yang disenaraikan ini adalah hasil penelitian dalam dua aksi Liga Malaysia sejak dua minggu lalu selain beliau turut meneliti beberapa perlawanan 2019 menerusi rakaman video membabitkan skuad Harimau Malaya.

Berdasarkan pemerhatian dan analisis, ada antara pemain ini masih perlu diteliti dari segi taktikal, kebolehan dan sikap profesional mereka ketika di dalam padang mahupun di luar padang.

sumber:- BH

“Jadi kita akan sentiasa memantau perkembangan pemain ini dan mungkin akan menambah baik pasukan dengan memanggil pemain-pemain lain sebelum kelayakan Piala Asia bermula pada Jun nanti,” kata bekas jurulatih Hong Kong itu.