Sukan

Nafuzi Zain akui kesukaran

Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain akui cabaran getir menanti anak buahnya apabila bakal berhadapan pasukan Sri Pahang FC, dalam perlawanan sulung saingan Liga Super yang akan membuka tirainya Sabtu ini.

Justeru beliau mengingatkan pemain supaya sentiasa memberi tumpuan serta komitmen penuh, bagi memastikan skuad Penyu dapat membawa pulang tiga mata penting yang akan menentukan momentum pasukan untuk perlawanan seterusnya.

“Perlawanan pertama sentiasa menjadi cabaran yang sukar untuk mana-mana pasukan, jadi terpulang pada pemain untuk memberi yang terbaik.

“Sri Pahang juga bukan calang-calang pasukan musim ini, kita dah uji mereka melalui perlawanan persahabatan tempoh hari dan walaupun tanpa skuad lengkap, mereka lebih baik daripada kita (TFC),” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin petang semalam.

Namun di sebalik kegusaran itu, Nafuzi mengakui sedikit lega kerana memiliki gandingan dua import di posisi s3rangan, yang diyakini mampu memberi sentuhan terbaik ketika beraksi di Stadium Darul Makmur itu nanti.

Menurut beliau, Kpah Sherman dan Kipre Thectche tidak mempunyai masalah daripada segi keserasian dan persefahaman, kerana sudah lama bergandingan iaitu ketika beraksi dengan pasukan Kedah musim lalu.

“Saya letak kepercayaan penuh terhadap Sherman dan Tchetche untuk menggalas tugas melakar kejayaan pertama buat pasukan. Lagipun Tchetche sebelum ini pernah bersama Terengganu dan dia faham apa yang saya inginkan,” katanya.

Bagaimanapun menurut Nafuzi beliau masih belum menentukan watak kapten pasukan dan sedang menguji beberapa pemain untuk disenaraikan skuad sebelas utama.

sumber:- HM

Ia bagi memastikan skuad yang diturunkan nanti benar-benar mantap dan mampu menjinakkan Sri Pahang.