Sukan

Kelantan FC harap permohonan diluluskan

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berharap kerajaan negeri dapat meluluskan permohonan tanah kelab itu bagi membina tempat latihan khas buat pasukan selepas dua tahun ia dikemukakan pihaknya tanpa sebarang jawapan.

Katanya, pihaknya menyasarkan membina ekosistem bola sepak lengkap dengan tempat penginapan, padang sintetik, padang futsal dan fasiliti lain di tanah berkeluasan tidak kurang daripada 10 hektar.

Kita sudah buat permohonan sejak dua tahun lalu, namun hingga kini tidak tahu status permohonan sama ada dalam proses dipertimbangkan, diluluskan atau apa…

Kita bersangka baik mungkin sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tapi sekarang dah tak ada alasan sebab aktiviti sudah dibenarkan, katanya ketika ditemui di sini.

Norizam berkata pihaknya hanya memerlukan kerjasama kerajaan negeri atau pihak berkaitan dalam meluluskan tanah untuk pembinaan tempat latihan namun segala kos perbelanjaan akan ditanggung kelab itu.

Katanya, dia juga bersedia jika kerajaan negeri mahu membuat perjanjian bangun guna serah atau BOT (build operate transfer) bagi kawasan tanah yang akan dibangunkan.

Kalau kerajaan negeri nak berkongsi, saya berlapang dada. Jika nak buat kemudian, pulangkan seperti buat BOT, juga boleh. Kita cuma mahukan pembangunan bola sepak diwujudkan.

“Kelab (Kelantan FC) dah lama, tapi tiada aset, ni kita nak buat aset. Kalau betul serius dalam membangunkan masa depan bola sepak negara, inilah caranya,” katanya.

Norizam berkata pihaknya juga bersedia mengadakan perjumpaan bersama kerajaan negeri bagi tujuan itu.

“Kita cadang buat di Tumpat, tapi kawasan banjir pula, kalau boleh, biar kawasan tidak banjir, pemain dah bersungguh, kena ada padang khas untuk mereka. Ini juga untuk semua orang Kelantan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Norizam berkata, pihaknya meletakkan tiga pemain import di posisi serangan kerana mahu menjaring lebih banyak gol musim ini.

Katanya, jika bermain bagus namun akhirnya jumlah gol menjadi penentu kejayaan pasukan.

sumber:- BH

“Tahun ini kita perlu lebihkan jumlah serangan, hanya dengan gol kita akan ke Liga Super. Pertahanan penting tapi kita kena yakin dengan pertahanan tempatan,” katanya.