Sukan

RM2 juta, misi tidak mustahil – Norizam

PASUKAN Kelantan FC menyasarkan untuk meraih RM2 juta menerusi penjualan jersi The Red Warri0rs (TRW) bagi musim 2022.

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berkata, misi itu tidak mustahil untuk dicapai berpandukan kepada rekod jualan jersi pada musim lalu yang telah diraih sebanyak RM1 juta.

Jersi ini kita keluarkan sendiri di bawah jenama 93 Sport. Untuk 2022 kita tampil dengan material yang berkualiti iaitu menggabungkan enam bahan dalam satu kain.

“Selain itu, Kelantan FC turut tampil dengan tiga warna jersi iaitu merah, biru dan hitam. Merah masih lagi kekal sebagai jersi keramat untuk aksi di laman sendiri,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Jersi Kelantan FC di Dewan Wawasan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan di Panji pada Selasa.

Menurutnya, Kelantan FC menawarkan dua harga pilihan iaitu RM199 bagi gred pemain dan RM69 gred penyokong.

Beliau berkata, TRW berharap penyokong dapat menunjukkan sokongan mereka melalui pembelian jersi tersebut dalam usaha mengukuhkan kantung kewangan pasukan.

Norizam atau Zamburger berkata, pihaknya berjaya mengumpulkan pendapatan mencecah ratusan ribu ringgit hasil jualan jersi sepanjang tempoh promosi baru-baru ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada penyokong yang telah membantu dengan membeli jersi TRW.

“Sokongan ini akan menjadi pemangkin buat TRW melangkah lebih jauh dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) 2022,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zamburger berkata, Kelantan FC akan menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Perdangangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membendung penjualan jersi cetak rompak milik TRW.

sumber : SH

“Belilah yang original kerana ia akan membantu pasukan,” katanya.