Sukan

Kita akan berikan jawatan itu kepada yang layak — Nafuzi

Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain sudah mempunyai bayangan kesebelasan utama berdepan pasukan jiran, Sri Pahang FC pada aksi pertama saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu ini.

Beliau bagaimanapun enggan menamakan lagi senarai 11 pemain utamanya itu berdepan skuad Tok Gajah kerana masih lagi menguji beberapa pemain sebelum dimuktamadkan.

Beliau juga mahukan semua pemainnya meningkat lagi prestasi dan fokus menjelang pertemuan pertama itu walaupun akui berpuas hati dengan prestasi dan komitmen semasa anak buahnya selepas mengharungi aksi kompetitif pemanas badan sebelum ini.

Bayangan kesebelasan utama sudah ada untuk berdepan dengan Sri Pahang FC, lagipun saya berpuas hati dengan pemain sebagaimana yang dibuktikan ketika aksi persahabatan kompetitif, tapi bagi memantapkan lagi pasukan, ada beberapa pemain yang masih diuji sebelum disenaraikan.

Ini kerana saya mahu menurunkan barisan terbaik dalam aksi pertama itu dan mahukan pemain fokus memandangkan pasukan lawan mempunyai barisan pemain tempatan dan import yang berkualiti ditambah jurulatih baharu yang bagus.

“Jadi kita harapkan strategi yang dirancang nanti menjadi lebih-lebih lagi semua pemain kini sudah bersedia sepenuhnya untuk membuat penampilan pertama dalam saingan liga musim ini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai ketua pasukan skuad Penyu musim ini, bekas striker Terengganu masih belum memuktamadkan lagi siapa yang bakal memakai lilitan kapten berkenaan.

Kita sudah ada beberapa nama yang mempunyai ciri-ciri sebagai kapten pasukan dalam kalangan pemain import dan tempatan, tapi setakat ini saya tidak mahu lagi mengumumkan nama pemain berkenaan.

“Dalam masa terdekat ini sebelum perlawanan bermula, kita akan memberikan jawatan itu kepada pemain yang layak sebagai jeneral padang,” katanya yang mahukan aksi pertama itu berakhir dengan keputusan positif biarpun bermain di tempat lawan.

sumber:- HM

Selain bekas striker TFC, Kipre Tchetche yang pernah memakai lilitan itu, pemain kelahiran Liberia Kpah Sherman, penjaga gol, Suhaimi Husin dan pemain pertahanan, Arif Fadzilah Abu Bakar juga dilihat memiliki kredibiliti untuk menggalas tugas berkenaan.