Pengerusi Selangor FC, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah mengharapkan kehadiran jurulatih baharu skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon dapat membantu meningkatkan mutu bola sepak skuad kebangsaan.

Tengku Amir Shah yang juga Raja Muda Selangor itu juga mahu barisan kejurulatihan baharu itu dapat berkongsi ilmu pengetahuan supaya semua pihak mendapat manfaat demi kemajuan bola sepak negara.

Saya harap staf kejurulatihan baharu yang diketuai oleh beliau (Pan Gon) akan dapat membawa kejayaan kepada skuad Harimau Malaya.

Sudah tentu dengan kehadiran barisan kejurulatihan import ini, kita mahu melihat mereka ini dapat berkongsi ilmu pengetahuan bola sepak dan ini peluang untuk pemain-pemain kita meningkatkan lagi tahap permainan apabila dipanggil ke pasukan kebangsaan.

Ia akan memberikan kita satu perspektif baharu, idea baharu untuk cara kita berlatih, cara mempersiapkan pasukan dan juga dari sudut taktikal.

“Harap prestasi pasukan kebangsaan akan lebih meningkat dan kita dapat mencapai kemenangan serta kejayaan yang lebih baik,” kata Tengku Amir Shah.

Terdahulu, skuad The Red Giants menerima kunjungan delegasi teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang diketuai Pan Gon serta barisan kejurulatihan, semalam.

Delegasi FAM itu disambut Tengku Amir Shah yang turut membawa pengendali dari Korea Selatan itu melihat fasiliti yang terdapat di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) di Shah Alam.

Sebelum itu, Pan Gon sudah mengadakan lawatan ke Johor Darul Ta’zim (JDT) selain berkesempatan meninjau pemain kebangsaan yang beraksi pada perlawanan Sumbangsih, Sabtu lalu.

sumber:- BH

Pan Gon ketika ini berdepan detik kritikal memandangkan hanya memiliki 12 perlawanan Liga Super untuk menilai prestasi pemain bagi tugasan antarabangsa sulungnya berdepan Filipina dan Singapura, hujung bulan ini.