Keputusan tidak membawa skuad terbaik ke Piala AFF bawah 23 (B-23) di Kemboja dianggap tepat oleh legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir.

Jelas tonggak pertahanan yang membantu Malaysia layak secara merit ke Sukan Olimpik 1980 itu, kegagalan di saingan serantau itu disebabkan oleh misi awal pasukan mahu memberi pendedahan buat pemain baharu.

Katanya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) daripada awal sudah menetapkan sasaran dengan memilih saingan Piala Asia B-23 di Uzbekistan pada Jun ini sebagai misi penting pasukan negara.

Tahun ini skuad B-23 kita sibuk dengan jadual mereka. Terlalu banyak kejohanan buat mereka, jadi berpendapat pilihan membawa skuad kedua di Kemboja adalah tepat.

Pasukan ini akan bermain juga dalam Sukan Sea (di Vietnam, Mei ini), Piala Asia dan Sukan Asia (di China, September ini). Jadi FAM perlu ada matlamat kejohanan mana yang perlu diutamakan.

Piala Asia adalah pilihan dan saya fikir apabila tiba kejohanan itu kelak sudah tentu pemain kita akan berada pada momentum terbaik.

“Ini sebab kita kena faham, pasukan bola sepak akan mencapai kemuncak prestasi dan jika kita kerah daripada AFF lagi, mungkin momentum itu akan hilang bila tibanya Piala Asia nanti,” katanya kepada Arena Metro.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan kegagalan skuad B-23 di Kemboja bukanlah ukuran sebenar peluang pasukan di saingan Piala Asia B-23 di Uzbekistan nanti.

Mungkin ramai terlupa atau buat-buat terlupa bahawa realititnya skuad yang dibawa ke Piala AFF itu bukanlah pasukan terbaik negara, di mana hampir separuh pemain utama tidak dibawa ke bumi Phnom Penh itu.

Malah, saingan serantau yang berlangsung di luar kalendar Fifa turut memberi kelebihan buat kelab tidak melepaskan pemain, maka Maloney sekadar membariskan skuad kedua di Kemboja itu bagi memberi pendedahan buat skuad muda negara sebelum memanggil pemain terbaik untuk dibawa ke Piala Asia kelak.

Di Uzbekistan nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan C bersama juara bertahan Korea Selatan, Thailand dan Vietnam dengan juara dan naib juara kumpulan akan layak ke suku akhir.

sumber:- HM

Pencapaian terbaik skuad negara di kejohanan itu adalah pada 2018 apabila skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee mara hingga ke suku akhir sebelum tewas 1-2 di tangan Korea Selatan.