Sukan

Jangan sampai pasukan belasahan ajar kita

Jangan satu hari nanti kita pula ambil jurulatih dari Laos untuk melatih pasukan Malaysia!

Itu luahan kecewa bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar selepas kekalahan memalukan skuad bawah 23 (B-23) negara di tangan Laos dalam kempen Kejuaraan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) di Kemboja pada Isnin.

Malah, bekas penolong jurulatih T-Team itu menganggap pasukan negara masih dibuai mimpi yang pasukan seperti Laos masih ketinggalan tanpa menyedari bahawa pasukan berkenaan sebenarnya sudah semakin maju.

Mula-mula kalah 2-1, semalam (kelmarin) kalah 2-0, lagi teruk. Patutnya perlawanan pertama kita sudah tutup pintu, Laos tak boleh bergerak lagi.

“Saya harap jangan pula sampai jurulatih Laos datang melatih pasukan kita satu hari nanti sebab dulu kita atasi Korea Selatan, sekarang jurulatih Korea Selatan yang melatih kita,” katanya kepada BH Sukan.

Skuad kendalian Brad Maloney tewas 1-2 pada Jumaat lalu dan kecundang lagi 0-2, pada aksi kedua di Phnom Penh, kelmarin yang menyaksikan ‘Harimau Muda’ terkandas di peringkat saingan Kumpulan B sahaja.

Selain itu, Azlan mempersoal konsep pendedahan yang cuba dibuat Maloney untuk pemain muda dalam Kejuaraan B-23 AFF kali ini.

Katanya, pemain muda negara sepatutnya didedahkan dengan cara untuk memenangi perlawanan dan bukan sekadar berjaya menguasai permainan di atas padang.

Pendedahan semata-mata tidak kira kalah atau menang, itu tiada hala tuju sebab apabila kita beri pendedahan kepada pemain, kita harus tunjukkan pendedahan untuk mengecap kemenangan.

Saya difahamkan jurulatih kita terlalu terpesona dengan kebolehan pemain menguasai perlawanan, tapi menguasai perlawanan dan tidak memenangi perlawanan adalah berbeza.

Apa guna kita menguasai permainan kalau kita tidak berjaya mengecap kemenangan. Semata-mata nak tunjuk pada penyokong yang kita sekarang ini ada perubahan di mana kita berjaya mengusai permainan, penyokong kita bukan bodoh.

“Penyokong nak tengok kemenangan walaupun kita terpaksa menggunakan punggung untuk menjaringkan gol, itu yang kita nak lihat, menjaringkan gol,” katanya.

Mengulas lanjut, Azlan menjelaskan semua pihak harus sedar bahawa pasukan lain yang dahulunya dilabel sebagai pasukan bel@sahan Malaysia sudah melakukan pembangunan dengan rapi.

“Kita masih lagi sibuk merebut jawatan, masih lagi memilih mengambil kawan bekerja dengan kita dan bukan memilih orang yang memiliki keupayaan. Kita pilih kawan supaya kawan ini akan menyokong kita, tapi ini bukan bola sepak sebenarnya.

sumber:- HM

“Bola sepak adalah kewibawaan, saya bercakap ini pun bukan sebab saya nakkan jawatan. Cuma, sedih bila tengok pasukan yang sebelum ini menjadi belasahan kita, mereka sudah semakin menuju puncak,” katanya.