Sukan

Pemilihan JDT kurangkan tekanan Liga M

Pemilihan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai tuan rumah untuk aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) bagi Kumpulan I mengurangkan tekanan kepada jadual perlawanan membabitkan skuad Harimau Selatan dalam Liga Malaysia (Liga M).

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata keputusan itu bakal melancarkan lagi perjalanan saingan Liga M yang berdepan jadual padat musim ini.

Katanya, perkembangan itu juga akan menjimatkan tempoh kuarantin yang sudah diperuntukkan untuk skuad Harimau Selatan yang bersaing di pentas ACL.

ACL kalendar pun kita ada peruntukkan kuarant!n untuk JDT dan kalau dalam hal JDT boleh jadi tuan rumah, kita dapat jimatkan tujuh hari kuarant!n untuk JDT yang mana mengurangkan tekanan kepada kalendar perlawanan mereka.

“Dalam kalendar masa ini, bila JDT main ACL, liga tempatan jalan. Kita tidak berhenti yang bermaksud JDT memunyai perlawanan yang perlu dikejar dan sekarang tanpa perlu kuarantin perjalanan mungkin akan lebih lancar,” katanya.

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dalam kenyataannya, kelmarin mengesahkan Johor Bahru akan menjadi tuan rumah kepada Kumpulan I yang menampilkan Kawasaki Frontale, Guangzhou FC dan pemenang perlawanan playoff antara Ulsan Hyundai dan Port FC.

Negara jiran, Thailand pula akan menjadi pusat pertembungan kepada tiga kumpulan iaitu F, G dan J manakala Kumpulan H akan bertempat di Vietnam.

Pengendali JDT, Benjamin Mora teruja dengan keputusan daripada AFC dengan saingan ACL yang bakal menyingkap tirainya dari 15 April hingga 1 Mei ini.

sumber : BH

“Sudah tentu ia berita menggembirakan kerana kita akan menjadi tuan rumah buat pertama kali dalam sejarah bola sepak tanah air pada saingan kelab yang berprestij di Asia,” kata Mora.