Sukan

Ketibaan Ifedayo masih ditunggu

Persiapan pasukan Melaka United (MU) berjalan lancar menerusi pengendalian Ketua Jurulatih, Risto Vidakovic dalam rangka membentuk pasukan mantap menjelang pembukaan Liga Super bulan depan.

Pengurus pasukan MU, Muhammad Akram Abdullah berkata, semuanya dilihat begitu teratur dan kemas dengan pemain mengikuti setiap perancangan jurulatih dengan baik.

Katanya, dia yakin jika semua pemain kental fokus barisan terbaik bakal dibentuk menjelang aksi pertama berdepan PJ City pada 5 Mac depan.

Menurutnya, menerusi penelitian dan penilaian pemain dilihat mampu menggarap perencanaan dan strategi Vidakovic sepanjang sesi latihan.

Namun mereka perlu lebih padu untuk menterjemahkannya semula dalam perlawanan sebenar kelak.
“Daripada lima pemain import empat sudah bersama menyertai latihan pasukan dan kami masih menantikan kehadiran Ifedayo Olusegun yang dijangka menyertai pasukan dalam masa terdekat.

“Kehadirannya mampu memberi nilai tambah kepada kekuatan sebenar pasukan sekali gus membolehkan lebih banyak pilihan buat jurulatih,” katanya.

Akram berkata, dalam membina persembahan lebih tersusun beberapa siri persahabatan sebelum saingan Liga Super bermula diatur terutama dalam memantapkan persembahan setiap posisi.

Katanya, ia membabitkan pertemuan berdepan Terengganu FC, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC.

sumber:- HM

Beliau berkata, tiga pertemuan terbabit jelas sebagai antara gambaran awal menyaksikan komitmen pemain menterjemahkan corak sebenar yang diterap Vidakovic.