Hasrat Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd untuk mendapatkan khidmat Pengarah Teknikal luar negara mungkin tidak kesampaian kerana sehingga kini belum menunjukkan tanda-tanda kehadiran kelibat jurulatih itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Rasid Jusoh menjelaskan, pihaknya berhasrat untuk menggunakan kepakaran import bagi memperkasakan lagi pembangunan sukan bola sepak negeri.

Bagaimanapun katanya, disebabkan syarat dan peraturan yang begitu ketat ditetapkan Jabatan Imigresen menyebabkan berlaku kesukaran untuk proses mendapatkan khidmat Pengarah Teknikal dari luar.

Kita memang mahu mengambil Pengarah Teknikal dari luar negara yang berpengalaman bagi membantu pembangunan bola sepak negeri yang kian berkembang.

Bagaimanapun disebabkan proses terlalu sukar dan rumit di Jabatan Imigresen menyebabkan sehingga kini kita tidak dapat umumkan lagi nama Pengarah Teknikal yang baharu.

“Jadi kita terpaksa tunggu dan lihat perkembangan dahulu sebelum kami memuktamadkan siapa yang bakal memegang jawatan itu bagi membantu jurulatih,” katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Ketika ditanya jalan penyelesaiannya jika Pengarah Teknikal dari luar negara tidak dapat bersama pasukan sebelum Liga Malaysia (Liga M) membuka tirainya pada awal Mac depan, beliau menjelaskan pihaknya akan beralih kepada tenaga tempatan.

Sebelum ini nama bekas pengendali kelab T-Team 2015, Tomislav Steinbruckner dari Croatia dan jurulatih kelahiran Indonesia, Rahmad Darmawan yang juga pernah membimbing T-Team pada 2016 hingga 2017 antara yang disebut-sebut menjawat jawatan pengarah teknikal TFC Sdn Bhd musim ini.

sumber : HM

Musim lalu, TFC Sdn Bhd menggunakan khidmat bekas legenda bola sepak negara yang juga pengendali Harimau Malaya, Abdul Rahman Ibrahim.