Sukan

Skuad Malaysia raih motivasi tinggi

Skuad negara meraih suntikan motivasi apabila secara rasminya menerima tajaan ‘livery’ khas Harimau Malaya pada pesawat Airbus 330-300 Malaysia Airlines yang juga Rakan Penerbangan Rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama dengan FAM terutama dalam menerbangkan skuad kebangsaan ke serata dunia.

Kami berbesar hati untuk memperkenalkan secara rasmi livery pesawat Harimau Malaya edisi khas ini, mempamerkan dua jenama nasional yang dikenali, disayangi dan disokong oleh rakyat Malaysia di seluruh dunia.

Sebagai pembawa bendera Malaysia tercinta, kedua-dua Malaysia Airlines dan FAM mempunyai tanggungjawab untuk memainkan peranan kita dalam mewakili Malaysia di peringkat tertinggi dari segi keselamatan, disiplin dan komitmen terhadap kecemerlangan.

“Melalui perkongsian ini, kami berharap dapat menyokong dan memudahkan perjalanan yang selamat dan lancar untuk pasukan bola sepak negara ketika mereka memulakan kejohanan utama merentasi destinasi di dalam dan di luar,” katanya.

Beliau berkata, skuad bawah 23 (B-23) tahun negara yang akan menyertai Kejuaraan AFF di Phnom Penh, Kemboja pada 14 Februari ini bakal menjadi kelompok pertama yang menaiki pesawat itu.

“Kami gembira apabila tidak lama lagi menerbangkan skuad B-23 melalui penerbangan Malaysia Airlines ke Phnom Penh, Kemboja untuk bersaing dalam Kejohanan AFF U23 2022,” katanya.

sumber:- HM

Untuk rekod, usahasama sebelum ini bermula daripada syarikat penerbangan itu menaja penerbangan skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe bagi menghadapi final Piala AFF 2018 di Hanoi, Vietnam pada 2018. Kerjasama itu kemudiannya diteruskan sehingga kini.