Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain akui belum menerima sebarang tawaran secara rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung desas-desus mengaitkan namanya sebagai pembantu ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.

Katanya, beliau tidak pernah memikirkan mengenai tawaran berkenaan kerana fokusnya kini adalah mempersiapkan skuad Penyu bagi mengharungi saingan Liga Super yang bakal bermula 5 Mac depan.

Bagaimanapun Nafuzi berkata, jika betul tawaran itu, ia sebagai penghargaan buatnya dan akan memikirkan sedalam-dalamnya kerana masih mempunyai kontrak bersama TFC.

“Setakat ini tiada tawaran secara rasmi daripada FAM berhubung perkara itu, (pelantikan sebagai pembantu ketua jurulatih), fokus saya kini adalah 100 peratus kepada persiapan pasukan TFC dalam menghadapi saingan liga tidak lama lagi.

“Lagipun saya tidak pernah memikirkan mengenai tawaran itu, tapi jika betul itu penghargaan buat saya sebagai jurulatih kerana dicalonkan sebagai pembantu jurulatih skuad kebangsaan,” katanya.

Ketika ditanya adakah beliau berminat untuk mengisi jawatan sebagai pembantu ketua jurulatih baharu Harimau Malaya, Kim Pan Gon, Nafuzi akui sukar untuk menyatakannya.

“Bagi saya sama ada minat ataupun sebaliknya sukar untuk diungkapkan kerana saya masih ada kontrak bersama TFC dan seluruh komitmen dan tanggungjawab saya bersama TFC.

“Namun jika ada tawaran saya akan memikirkan semula sebab sekarang belum ada hitam putih, jadi tidak boleh bercakap apa-apa, tapi bagi saya lebih penting adalah TFC,” kata Nafuzi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas berakhir perlawanan bertemu Penang FC dalam Kejohanan Empat Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Kuala Nerus malam tadi yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.

sumber:- HM

Gol TFC hasil jaringan Kpah Sherman pada minit ke-15 manakala jaringan skuad bimbingan Tomas Trucha menerusi sepakan penalti Danial Asraf Abdullah pada minit ke-51.