Sukan

FAM akhirnya umum keputusan terhadap kritikan TMJ

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ‘terlepas’ daripada dikenakan sebarang tindakan atas kenyataan beliau membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pasukan Harimau Malaya baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang FAM, Saaran Nadarajah berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Tunku Ismail itu adalah pandangan beliau sebagai mantan presiden badan induk bola sepak negara.

Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan menerusi temubual bersama sebuah stesen televisyen tempatan dan portal itu adalah kepada kritikan yang membina demi kebaikan pasukan bola sepak kebangsaan.

Katanya, Tunku Ismail juga mengeluarkan kenyataan terbabit berdasarkan pengalaman beliau sebelum ini ketika menerajui FAM.

FAM sentiasa terbuka dalam menerima kr!tikan dan sebab itulah kita meminda Artikel 88 dalam Statut FAM ke Artikel 82 pada tahun 2020 bagi memberi kelonggaran kepada mereka yang membuat krit!kan membina untuk kebaikan dan kemajuan bola sepak kita.

“FAM buat masa ini menganggap Artikel 61 dalam Kod Tatatertib FAM dan juga Artikel 82 dalam Statut FAM masih relevan dan berfungsi dengan baik,” katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali menuntut FAM menjelaskan bagaimana beberapa statut berhubung Artikel 61, 82 dan 88 berfungsi terhadap pemilik kelab dalam saingan Liga M sekiranya didapati mengkritik badan induk itu.

Jelas Khalid, jika peraturan sama turut terpakai ke atas pemilik kelab, seharusnya Tunku Ismail yang juga pemilik JDT perlu didakwa oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM seperti mana yang pernah dikenakan ke atas jurulatih ataupun pegawai pasukan.

Katanya, selaku kelab swasta yang bersekutu di bawah Persatuan Bolasepak Negeri (FA Negeri) masing-masing sebenarnya masih terikat dengan artikel itu yang melarang individu (berada dalam sistem bola sepak negara seperti jurulatih dan pegawai) membuat kenyataan atau komen semasa temu ramah berhubung isu yang membabitkan FAM tanpa kebenaran.

Malah, dalam artikel sama juga dilarang untuk mengecam mengenai urusan pentadbiran hal ehwal FAM dan ia termasuk soal pengurusan skuad kebangsaan.

Mengikut rekod, sebelum ini, Tunku Ismail mengkr!tik kelemahan pengurusan FAM terutama selepas tidak menepati perancangan asal untuk menghantar skuad Bawah 23 tahun negara (B-23) apabila sebaliknya pada saat akhir mengubah kepada skuad senior.

Sementara itu, Saaran berkata, pihaknya akan terus memantau jika terdapat individu berkaitan mengeluarkan kenyataan hingga melampaui batas.

sumber:- HM

“Pihak Jawatankuasa Tatatertib FAM tetap akan memantau situasi semasa jika terdapat mana-mana pegawai pasukan atau pemimpin persatuan dan juga kelab lain yang mengeluarkan komen atau kenyataan yang berniat j@hat atau melampaui batas,” katanya.