Sukan

Wan Kuzri harapan ganti Luqman

Memandangkan striker s3nsasi Luqman Hakim Shamsuddin tiada dalam senarai, Malaysia pastinya menyandarkan harapan kepada pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) iaitu Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal dalam skuad kebangsaan bagi mengharungi saingan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 Bawah 23 Tahun (B-23) di Kemboja bulan ini.

Bagaimanapun, ketua jurulatih Skuad B-23 kebangsaan Brad Maloney berkata Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang cuba menyelesaikan isu itu dengan Wan Ahmad Kuzri memandangkan pemain itu berdepan masalah peribadi di AS.

Saya telah berbual dengannya semalam dan dia kelihatan amat berminat untuk turut serta namun kini kita kesuntukan masa, harap-harap dia boleh sertai skuad secepat mungkin.

“Sekiranya dia kembali ke Kuala Lumpur, dia perlu menjalani kuarant!n untuk tempoh tertentu dan sebaik sahaja dia menyelesaikan urusannya di AS, kita akan buat keputusan muktamad berhubung perkara itu,” katanya kepada pemberita di kem latihan pusat di sini semalam.

Kali terakhir pemain berusia 20 tahun itu menyertai kem latihan pusat ialah ketika bersama pasukan kebangsaan Bawah 19 Tahun pada Ogos 2020.

Meskipun memuji Wan Ahmad Kuzri sebagai ‘pemain yang amat bagus,’ jurulatih kelahiran Australia itu berkata beliau tidak dapat menjamin tempat untuknya dalam skuad akhir ke kejohanan di Kemboja kerana pemain tengah itu masih perlu bersaing dengan pemain lain.

“Semua orang memiliki peluang yang sama‚Ķ seperti yang saya telah katakan pintu kami sentiasa terbuka, jadi masih terdapat ramai pemain yang layak menyertai pasukan ini dan kami sentiasa berfikiran terbuka mengenainya,” kata beliau.

Maloney juga berkata kejohanan di Kemboja akan menjadi tempat pemain menimba pengalaman untuk menyesuaikan diri dengan falsafah beliau sebelum mereka beraksi dalam saingan itu yang dijadual berlangsung dari 1 hingga 19 Jun di Uzbekistan dan Sukan Asia di Hangzhou, China dari 10 hingga 25 September.

Ditanya mengapa skuad itu memutuskan untuk beraksi menentang pasukan tempatan berbanding antarabangsa dalam perlawanan persahabatan sebelum berlepas ke Kemboja pada 12 Februari, Maloney merujuk isu berkaitan COVID-19 sebagai sebab utama pihaknya memilih mengadakan perlawanan terbabit di sini.

Jurulatih berusia 50 tahun itu turut memaklumkan bahawa pasukannya akan ke Sabah Jumaat ini untuk menentang Sabah FC pada 5 Februari sebelum kembali ke ibu negara bagi aksi perlawanan dengan Kuala Lumpur City FC pada 10 Februari.

Sementara itu, pemain tengah Petaling Jaya City FC A.Shivan Pillay menyifatkan rakan sepasukannya sebagai sudah cukup matang dalam memahami taktik Maloney dan apa yang dikehendaki oleh pasukan jurulatih di atas padang.

Shivan Pillay juga menaruh harapan untuk membarisi skuad akhir ke Kemboja namun sebelum itu, dia perlu membuktikan kemampuannya berbanding dua lagi pemain iaitu Ahmad Tasnim Fitri Mohd Nasir (Sarawak United FC) dan K. Thivandaran (Pulau Pinang FC).

Skuad kebangsaan B-23 itu, yang diundi dalam Kumpulan B, akan memulakan kempen dengan menentang Myanmar di Stadium Prince pada 15 Februari depan.

Anak buah Maloney kemudian akan bertemu Laos pada 18 Februari di venue sama sebelum melengkapkan perlawanan kumpulan dengan aksi menentang Indonesia di Stadium Nasional Morodok Techo pada 21 Februari.

sumber:- BH

Juara dan naib juara tiga kumpulan dalam saingan itu akan mara ke separuh akhir pada 24 Februari manakala perlawanan akhir ditetapkan pada 26 Februari. – BERNAMA