Sukan

Mat Yo Sah pemain terbaharu

Striker s3nsasi skuad kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha antara taruhan terbaharu pasukan Melaka United (MU) dalam menyediakan pasukan mantap di pentas Liga Malaysia musim ini.

Terbaharu kelab berkenaan mengumumkan pemain berpengalaman itu sah menyertai skuad Hang Tuah, dalam usaha pasukan itu memperkasa skuad berkenaan kali ini.

Norshahrul, 35, atau Mat Yo yang menyertai pasukan terbabit selepas semusim bersama Sarawak United FC musim lalu, bakal menjadi pilihan Melaka United membentuk gandingan mantap bersama Sony Norde, Ifedayo Olusegun dan barisan pemain lain.

Mat Yo antara pemain senior tempatan masih beraksi serta pernah menyarung jersi beberapa pasukan Liga Malaysia, iaitu Kelantan, Johor Darul Ta’zim (JDT), Negeri Sembilan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Terengganu, Felda United FC dan Pahang selain berpengalaman menyertai kelab Thai League 1, BG Pathum United FC pada 2020.

Beliau juga turut membuat lebih 80 penampilan bersama skuad kebangsaan dengan 14 gol di peringkat antarabangsa.

“Semoga dengan pengalaman yang dimiliki Norshahrul bakal membantu skuad Hang Tuah dalam memberikan cabaran dalam semua saingan Liga Malaysia musim ini,” kata Melaka United dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United FC (MUFC), Datuk Justin Lim turut mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua masyarakat Cina di seluruh negara khususnya kepada penyokong skuad Hijau Putih.

sumber:- HM

“Semoga tahun Harimau membawa kekayaan dan kesihatan yang baik kepada semua. Sokongan berterusan anda kepada MUFC diyakini akan membawa lebih banyak kejayaan kepada kelab,” katanya.