Sukan

Lima otai perkasa Perlis United FC

Kehadiran pemain senior berpengalaman dalam kelab Perlis United FC (PUFC) bagi saingan Liga Malaysia Divisyen 3 (M3) dijangka mampu memberikan motivasi tinggi kepada pasukan dalam usaha layak ke Liga Perdana musim hadapan.

Pengendali Perlis United, Azizul Abidin berkata, pemain berpengalaman sebelum ini banyak beraksi bersama pasukan Liga Super dan Liga Perdana seperti Azmizi Azmi, Azizi Mat Rose, Sadam Hashim, Muhammad Afiq Azmi serta Hairol Fazreen Abu Hassan dilihat mampu menyumbang kepada pembentukan keserasian permainan kelab itu bersama pemain muda.

Kehadiran pemain senior ini banyak membantu dari segi memberikan perangsang dan teladan baik kepada pemain baru dan muda dalam memastikan mereka tidak gugup di atas padang.

“Malah, pengalaman mereka (pemain senior) ini begitu ditagih dalam memberikan bimbingan dan juga semangat kepada pemain baru ini agar lebih komited terutama dalam latihan harian mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Menandatangani Kontrak Pemain dan Pegawai Pasukan Liga M3 Perlis United FC Tahun 2022 di Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis, di sini hari ini.

Katanya, kombinasi antara pemain senior dan muda juga dilihat semakin serasi dan mampu membawa kelab berpangkalan di Kangar itu memberikan saingan hebat kepada pencabar lain tatkala musim Liga M3 membuka tirainya pada 12 Februari hadapan.

“Kita juga mungkin menghadapi antara satu dan dua lagi perlawanan persahabatan pra musim dengan beberapa pasukan sebelum saingan liga bermula.

“Malah, sebagai persiapan menghadapi perlawanan pertama dengan kelab Real Chukai FC dari Terengganu di Kemaman yang akan dijalankan di padang sintetik, kita juga akan berlatih di padang sintetik Stadium Mini Simpang Empat, Kangar bagi menyesuaikan keadaan padang di sana nanti,” katanya.

Terdahulu, seramai 24 pemain menandatangani kontrak selama semusim beraksi bersama Perlis United FC bagi saingan Liga M3 musim ini.

Hampir keseluruhan pemain pada musim ini dibarisi anak jati Perlis. Bagi saingan Liga M3 musim ini, pertahanan Azmizi Azmi dipilih sebagai ketua pasukan.

Sementara itu, Azmizi berkata pemilihannya sebagai ketua pasukan satu tanggungjawab besar yang harus digalas bagi memastikan perancangan dilakukan membuahkan hasil.

sumber : arena metro

Selepas hanya mampu seri 2-2 dengan kelab Liga M3 dari Pulau Pinang, Bukit Tambun FC minggu lalu, Perlis United akan menghadapi cabaran sebuah lagi kelab Liga M3 dari Kedah iaitu Langkawi City FC dalam perlawanan persahabatan di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar jam 9 malam esok.