Pemain pertahanan skuad Harimau Malaya, Dion Cools kembali ke negara asalnya Belgium untuk mencari minit permainan selepas kurang diturunkan oleh kelabnya FC Midtjylland dalam Superliga Denmark.

Pemain berusia 25 tahun yang lahir di Kuching, Sarawak itu nyata gembira berpeluang meneruskan karier selepas berpindah secara pinjaman ketika jendela perpindahan musim sejuk ke Zulte Waregem.

Perlawanan pertama untuk SV Zulte Waregem @esseveeofficial, tulisnya ringkas dalam perkongsian terbaharu di laman Instagram.

Zulte Waregem bagaimanapun kini menghuni tangga ke-16 daripada 18 pasukan dalam divisyen satu Belgium itu.

Perkongsiannya itu mendapat reaksi positif rakan sepasukan Harimau Malaya termasuk Brendan Gan, Junior Eldstal dan Samuel Somerville selain tanda ‘like’ daripada Luqman Hakim Samsudin, penyerang muda negara yang beraksi dengan pasukan B-21 kelab Belgium, KV Kortrijk.

Cools akan beraksi dengan Waregem, yang pernah menjuarai Piala Belgium sebanyak dua kali, sehingga hujung musim 2021-22.

Dia mengikat kontrak bersama Midtjylland, kini kelab pendahulu Superliga Denmark dan naib juara liga musim lalu, selama tiga tahun bermula Januari 2020 dan setakat ini sudah beraksi 38 perlawanan serta menjaringkan satu gol.

sumber:- HM

Bersama skuad Harimau Malaya, Cools sudah tampil dalam empat perlawanan dengan aksi terbaharu pada peringkat kumpulan Piala AFF menentang Indonesia di Singapura apabila skuad kendalian Tan Cheng Hoe tumpas 1-4 sekali gus gagal mara ke separuh akhir.