Pemain sayap kiri baharu Terengganu FC (TFC), Muhammad Syafik Ismail sedia bersaing dengan pemain lebih berpengalaman bagi memburu posisi utama skuad Penyu musim ini.

Pemain skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) itu yang lebih mesra dipanggil ‘Kacang’ berharap pengalamannya ketika berguru dengan jurulatih Terengganu FC II (TFC II), Badrul Afzan Razali dan Brad Maloney dalam skuad kebangsaan musim lalu bakal memberi lebih keyakinan kepadanya untuk beraksi dalam Liga Super musim ini.

Anak kelahiran kampung Kubu, Marang itu yang pernah terpilih menjalani latihan bersama pemain profesional di Old Trafford, Manchester United dalam program Mencari Ramli pada 2016 juga berharap pengalamannya dapat dimanfaatkan sebaik mungkin bersama skuad kendalian Nafuzi Zain itu.

Sejujurnya saya begitu teruja dan bersyukur ‘dinaikkan pangkat’ beraksi bersama pasukan utama musim ini selepas membantu TFC II menamatkan saingan Liga Perdana di kedudukan ketiga musim lalu.

Ini peluang terbaik saya untuk membuktikan kemampuan dan seterusnya bersaing dengan rakan sepasukan untuk mengintai kesebelasan utama pasukan selepas kembali disenaraikan dalam skuad utama.

Dengan pengalaman yang ada ketika berguru bersama beberapa jurulatih, saya akan berusaha sedaya upaya untuk memberikan aksi terbaik dalam misi memburu sasaran yang ditetapkan pasukan, katanya ketika dihubungi.

sumber:- HM

Pada musim 2020, Syafik, 22, pernah disenaraikan dalam skuad TFC, bagaimanapun musim lalu bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan, Marang dan Sekolah Sukan Bukit Nenas, Setiu itu beraksi semula dengan pasukan ‘adik’, TFC II bagi memberi lebih banyak minit permainan.