Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengesahkan akan beraksi di Kejohanan Berpasukan Asia yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, bulan depan.

Ia selepas Zii Jia yang memutuskan untuk bergerak secara profesional sebelum ini menganggap kemelut yang melanda antaranya dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selesai.

Menerusi status terbaru di Facebook miliknya, juara Seluruh England 2021 itu, berkata dia sudah pun mendapat restu daripada Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria untuk bergerak secara profesional dan menyelesaikan segala isu secara baik.

Saya sangat gembira apabila dapat mengadakan pertemuan hati ke hati dengan Tan Sri Norza bersama dengan keluarga saya. Saya gembira apabila kami dapat menyelesaikan masalah yang timbul selepas mendapat restu daripada Tan Sri untuk saya menjadi pemain profesional.

Pencapaian yang saya raih sebelum dan selepas ini akan sentiasa menjadi produk daripada Tan Sri Norza, BAM dan Malaysia. Saya sangat bertuah apabila mendapat bimbingan Tan Sri dan memberi saya peluang bagi berkhidmat kepada negara yang tercinta.

Buat masa sekarang, saya menyatakan komitmen untuk beraksi dalam Kejohanan Berpasukan Asia. Saya berharap penyelesaian ini akan menyatukan sebagai rakyat Malaysia dan peminat sukan badminton.

“Teruskan sokongan kepada BAM dan pemain profesional negara yang juga lahir daripada BAM kerana akhirnya kita semua adalah satu,” kata Zii Jia.

Terdahulu Zii Jia mengadakan perbincangan dengan Timbalan Presiden 2 BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh susulan rayuan yang dihantarnya, semalam.

sumber:- HM

BAM sebelum ini memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berikutan keputusannya meninggalkan badan induk itu bagi bergerak secara profesional.