Sukan

Jasa anda akan tetap kami kenang selamanya

Jurulatih dari Bosnia Herzegovina, Risto Vidakovic dilantik menjadi jurulatih Melaka United FC (MUFC) bagi menggantikan Zainal Abidin Hassan.

Jurulatih berpengalaman berusia 53 itu sebelum ini membimbing kelab Liga 1 Indonesia, Borneo FC serta beberapa kelab sekitar Eropah dan Asia selain pernah bersama skuad kebangsaan Serbia selaku Penolong Jurulatih sekitar 2006 hingga 2007.

Antara kelab yang pernah mendapatkan khidmat beliau termasuk kelab-kelab Sepanyol seperti Murcia, Ecija Cadiz dan Betis B selain pernah membimbing kelab Honduras, Motagua, kelab Filipina, Ceres-Negros, kelab Maldives, Maziya sebelum menyertai Borneo FC.

Sepanjang bergelar jurulatih beliau membantu kejuaraan hatrik Ceres-Negros dalam saingan Philippines Football League pada 2017, 2018 dan 2019 selain membawa Maziya menjuarai Dhivehi Premier League 2020-21.

Selamat menyertai kami di MUFC, semoga dengan pengalaman yang dimiliki Risto Vidakovic bakal memantapkan lagi persiapan skuad Hang Tuah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini, kata kenyataan kelab berkenaan.

Sementara itu kelab itu juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Zainal Abidin di atas segala jasa, keringat dan peng0rbanan yang dicurahkan sepanjang mengemudi pasukan terbabit.

Untuk rekod, beliau menyertai MUFC pada November 2018 menggantikan E Elavarasan selepas membimbing pasukan Pulau Pinang. Sepanjang membimbing MU, beliau membawa pasukan melakar pencapaian terbaik setakat ini dalam saingan Liga Super Malaysia iaitu di tempat ke-6 liga pada musim 2019.

Di bawah kendaliannya beliau juga hampir melakar sejarah baharu bola sepak Melaka selepas membawa skuad Hijau Putih ke pentas Akhir Piala Malaysia buat pertama kali musim lalu sebelum tewas kepada KL City FC pada separuh akhir sekali gus menyamai pencapaian 38 tahun lalu ke Separuh Akhir Piala Malaysia.

Kami di Melaka United FC amat menghargai segala yang dicurahkan buat pasukan dan bola sepak negeri Melaka selama mengemudi skuad Hang Tuah. Kami juga mendoakan semoga beliau diberikan kesihatan yang baik, maju jaya dalam karier kejurulatihan bola sepak selepas ini dan dapat terus mencurahkan bakti buat bola sepak negara pada masa hadapan.

sumber:- HM

“Terima kasih Zainal Abidin Hassan, jasa anda akan tetap kami kenang selamanya dan sehingga bertemu lagi,” katanya.