Sukan

Bukan tiru Indonesia

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menceduk formula yang digunakan Vietnam dan Indonesia apabila membuat keputusan untuk melantik jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan Gon sebagai pengendali baharu skuad kebangsaan.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan badan induk tidak sekadar mengikut trend seperti dilakukan dua negara terbabit memandangkan mereka turut menjalankan kajian sendiri sebelum memilih jurulatih dari republik itu.

Kalau kita ambil jurulatih dari England, nanti ada yang persoalkan orang England tidak tahu bola sepak kita. Kita pun ada buat kajian kita sendiri yang menyeluruh.

“Penilaian kita adalah dia adalah yang terbaik dan kita boleh mendapatkan khidmatnya ketika ini. Kita berpandangan dia paling layak untuk menaikkan kita di peringkat ASEAN dan Asia,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, hari ini.

Sebelum ini, sentuhan dua jurulatih dari Korea Selatan iaitu Park Hang Seo (Vietnam) dan Shin Tae Yong (Indonesia) berjaya membantu meningkatkan kualiti permainan dua pasukan ASEAN itu.

Sentuhan Hang Seo menyaksikan skuad Naga Emas menjadi salah satu pasukan terbaik di rantau ASEAN sementara Tae Yong membawa skuad Garuda ke final Piala Suzuki AFF 2020.

Terdahulu, Hamidin mengumumkan Pan Gon sebagai jurulatih baharu skuad kebangsaan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan selepas Tan Cheng Hoe meletak jawatan,

Hamidin menjelaskan jurulatih berusia 52 tahun itu diberikan kontrak dua tahun dengan pilihan kontraknya akan disambung lagi sekiranya berjaya meningkatkan persembahan Harimau Malaya atau FAM berpuas hati dengan prestasinya.

sumber:- BH

“Kita bagi peluang pada dia walaupun kita memang mahu layak ke Piala Asia. Tetapi kita lihat bagaimana (prestasinya) untuk dua tahun ini,” katanya.