Sukan

Terus bertukar ‘baton’

Takhta pemain termahal Liga Malaysia (Liga M) terus bertukar ‘baton’ susulan kemasukan striker baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri musim ini.

Gelaran yang musim lalu menjadi milik bekas striker JDT, Gonzalo Cabrera kini menjadi milik bekas striker Udinese dan Sheffield Wednesday itu apabila dianggarkan bernilai RM4.6 juta.

Nilai pasaran semasa pemain itu diperoleh menerusi semakan daripada laman sesawang terkenal bola sepak, transfermarkt.co.uk.

Situasi ini menyaksikan pemain kelahiran Argentina itu mengikut jejak langkah beberapa pemain skuad Harimau Selatan yang sebelum ini pernah dinobatkan sebagai pemain termahal Liga M seperti Cabrera yang bernilai RM2.93 juta, Jonathan Herrera (RM5.96 juta) dan Diogo Santo (RM4.8 juta).

Malah, pemain berusia 31 tahun itu pernah mencatat nilai pasaran tertinggi sebanyak RM36 juta ketika bersama Sheffield Wednesday pada 2018.

Semakan lanjut ke atas nilai pasaran pemain Liga M yang lain turut mendapati tiga lagi muka baharu yang akan menyertai kancah bola sepak tempatan memasuki senarai lima teratas.

Tiga muka baharu terbabit berkongsi ‘harga’ yang sama iaitu RM2 juta membabitkan pemain dari posisi pertahanan, tengah dan striker.

Pemain terbabit adalah David Mawutor yang akan beraksi bersama juara Liga Perdana, Negeri Sembilan FC (NSFC) serta dua pemain Selangor FC (SFC) iaitu Caion dan Yazan Al Arab.

Bagaimanapun, semakan dari transfermarkt turut mendapati striker Kedah Darul Aman (KDA), Ronald Ngah memiliki nilai RM2 juta namun tiada pengesahan rasmi daripada naib juara Liga Super itu mengikat pemain dari Cameroon terbabit buat masa ini.

Seorang lagi pemain JDT, La Vere Corbin Ong muncul sebagai pemain berd@rah kacvkan paling mahal apabila dianggarkan bernilai RM1.9 juta.

Nilai itu setara dengan dua lagi striker iaitu penjaring terbanyak Liga Super, Ifedayo Olusegun yang kini mewakili Melaka United serta striker Terengganu FC (TFC), Kpah Sherman.

sumber:- HM

Dua pemain tempatan, Safawi Rasid dan Baddrol Bakhtiar serta seorang lagi pemain berd@rah kacukan, Matt Davies melengkapkan senarai 11 pemain termahal Liga M setakat ini.