Pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan Gon hanya tinggal selangkah untuk dilantik selaku pembimbing baharu skuad Harimau Malaya sekali gus mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tan Cheng Hoe awal bulan ini.

Pan Gon, 52, memiliki pengalaman cukup luas dalam bidang kejuralatihan, di mana bekas pemain Ulsan Hyundai di Liga Korea Selatan itu pernah melatih skuad kebangsaan Hong Kong sebelum ini.

Kini beliau adalah Ketua Jawatankuasa Penyelia Skuad Kebangsaan Korea Selatan dan dikatakan pilihan hangat untuk membimbing skuad Harimau Malaya.

Malah, beliau juga bakal mencipta sejarah sebagai jurulatih dari Korea Selatan yang pertama dilantik ke jawatan itu sejak 1963.

Menurut sumber, pemilihan Pan Gon untuk melatih skuad negara hampir 95 peratus.

Nama calon jurulatih baru dikecilkan dan beliau (Pan Gon) dalam senarai akhir.

“Tak rasmi lagi tapi dah 95 peratus untuk melantik beliau,” kata sumber kepada Arena Metro.

Sebelum ini, akhbar ini pernah melaporkan kemungkinan skuad Harimau Malaya akan mencari jurulatih dari Asia Timur bagi mengendalikan pasukan negara.

Beberapa calon dari negara seperti Korea Selatan dan Jepun bakal dilantik oleh FAM kerana mahu menerapkan elemen disiplin yang tinggi dalam pasukan kebangsaan.

sumber:- HM

Selain itu, jurulatih dari Asia Timur juga dilihat lebih memahami budaya bola sepak rantau ini.