Sukan

Skuad Adik ganti abang

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan skuad kebangsaan tidak akan ‘tidur’ pada kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bulan ini.

Sebaliknya, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar mengesahkan ruang itu akan digunakan oleh pasukan ‘adik’ Harimau Malaya iaitu skuad bawah 23 (B-23) tahun kebangsaan untuk aksi persahabatan.

Katanya, perlawanan persahabatan sama ada dengan pasukan B-23 negara lain atau kelab sebagai persiapan bagi menghadapi Kejuaraan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) di Kemboja, bulan depan.

Memang seperti mana yang Pengarah Teknikal (Scott O’Donell) maklumkan baru-baru ini (bahawa tiada aksi persahabatan untuk pasukan senior Harimau Malaya), kita tidak kata yang kita nak tidur atau sebagainya.

“Kita sedia maklum, akan tetapi juga kita mempunyai kekangan dari segi mendapatkan jurulatih (baharu Harimau Malaya) dan juga membuat penggilan ke skuad kebangsaan yang mana pasukan kelab membuat persiapan pramusim.

Apa yang kita buat sekarang ini adalah pasukan B-23 tahun yang membuat persiapan untuk Kejuaraan B-23 AFF di Kemboja akan menggunakan tempoh Kalendar FIFA.

“Ini kerana kita mesti tahu kebanyakkannya, saya boleh katakan 70 atau 80 peratus pemain ini terdiri daripada pemain utama kelab masing-masing,” katanya pada sidang media selepas Majlis Taklimat Piala Presiden dan Piala Belia 2022, di sini, hari ini.

sumber:- BH

Tahun ini menjadi tahun yang sibuk buat skuad B-23 negara berbanding skuad senior Harimau Malaya kerana selain Kejuaraan B-23 AFF, skuad kendalian Brad Maloney itu juga akan beraksi di Sukan SEA Vietnam dan perlawanan pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan.