Sukan

Bekas pemain kebangsaan sebut tiga calon Pengganti Cheng Hoe

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar menyifatkan pengambilan anak tempatan untuk membimbing Harimau Malaya sebagai langkah lebih tepat berbanding memberikan jawatan itu kepada jurulatih asing.

Beliau menjelaskan jurulatih tempatan memiliki lebih banyak kelebihan terutama dari aspek penyampaian, pergaulan, pemahaman budaya dan toleransi.

Malah, bekas penolong jurulatih T-Team itu menyebut Zainal Abidin Hassan, Irfan Bakti Abu Salim dan E Elavarasan sebagai antara jurulatih tempatan yang mempunyai keupayaan mengemudi Harimau Malaya.

Zainal Abidin kita tak pernah cuba, Irfan Bakti pun jurulatih yang sudah masak dengan pemain kita. Kalau pemain datang berjalan kaki dekat dia pun, dia sudah tahu pemain itu cakap betul atau tidak. Elavarasan pun bagus.

Nafuzi terlalu awal untuk kita bagi dia tanggungjawab besar tapi kewibawaan dia memang ada. Cuma kita bagi dia cukup pengalaman peringkat bawah dulu dan kemudian bawa dia ke skuad B-19 atau B-23 untuk rasai dugaan peringkat antarabangsa, kemudian baru naikkan dia.

Jurulatih seperti Zainal, Irfan dan Elavarasan sangat pengalaman. Seperti Zainal, semua pemain tahu latar belakang dia dan dia tahu apa kegagalan ketika mewakili negara serta apa yang perlu diperbetulkan dengan pemain yang ada sekarang. Jadi berikan peluang kepada jurulatih tempatan.

“Kalau jurulatih lain dari luar negara, budaya mereka lain. Sebagai bekas pemain saya pun pernah dilatih ramai jurulatih import, kadang-kadang ada yang mengarut sampai kita bercakap sendiri bahawa lebih baik ambil jurulatih tempatan,” katanya kepada BH Sukan.

Sebelum ini, terdapat cadangan supaya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil jurulatih asing terutama dari Korea Selatan atau Jepun seperti yang dilakukan beberapa pasukan Asia Tenggara, Vietnam, Indonesia dan Singapura.

Malah, beberapa nama termasuk pengendali KL City, Bojan Hodak dan bekas jurulatih Thailand, Kiatisuk Senamuang antara nama yang dikaitkan sebagai pengganti Tan Cheng Hoe yang meletakkan jawatan, Isnin lalu.

Selain itu, Azlan mendakwa kebanyakan jurulatih asing hanya menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang mereka mendapat bayaran dan ia berbeza dengan pengendali tempatan yang memiliki semangat patriotik.

Jurulatih luar ini, satu benda saja mereka sangat bagus, mereka sangat bagus dari segi memberi alasan. Jurulatih tempatan pula kekurangan mereka adalah sokongan daripada semua pihak.

sumber:- BH

“Contoh ketara bila jurulatih import datang, dia minta 30 biji bola kita bagi 40 biji, itu dari segi kemudahan. Tapi bila jurulatih tempatan, dia minta bola 30 biji, mereka hantar 20 biji dulu. Jadi ini kadang-kadang jurulatih tempatan rasa diri mereka seperti tak puas hati,” katanya.