Sukan

Anak jati mahu kembalikan kegemilangan

Selepas beraksi dengan beberapa pasukan sebelum ini, pemain pertahanan, Khair Muhammad Jefri Jones memilih negeri kelahirannya Negeri Sembilan, untuk meneruskan karier sebagai pemain bola sepak profesional bersama Negeri Sembilan FC (NSFC).

Pemain berusia 32 tahun itu akui sudah lama mengimpikan beraksi dengan pasukan negeri kelahirannya itu tetapi tidak berpeluang.

Sudah lama saya mengimpikan untuk beraksi dengan Negeri Sembilan tetapi tidak berpeluang dan kini hasrat itu akhirnya tercapai apabila pihak pengurusan kelab menyambut baik keinginan saya.

Saya rasa teruja dan selesa dengan suasana dalam pasukan dan ini memberikan suatu motivasi untuk memberikan sumbangan terbaik kepada pasukan negeri saya, dalam mengharungi kempen musim ini.

“Saya mahu memberikan yang terbaik kepada Negeri Sembilan terutama usaha mengembalikan semula kegemilangan pasukan ini yang pernah menjulang pelbagai kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sebelum ini,” katanya.

Khair menandatangani kontrak semusim bersama skuad Hobin Jang Hobin dan pemain yang memiliki ketinggian 1.91 meter itu pernah mewakili pasukan Melaka United FC, Kuala Lumpur FC dan Sarawak United.

Pemain yang dilahirkan di Nilai, Negeri Sembilan tetapi membesar di New Zealand, mempunyai empat penampilan bersama skuad kebangsaan pada 2016.

Mengulas sama ada dia berhasrat untuk mengakhiri kariernya bersama Negeri Sembilan berikutan usianya sudah menghampiri 33 tahun, Khair menegaskan, perkara itu tiada dalam kamus peribadinya.

Menurutnya, dia akan terus bermain bola sepak selagi masih berupaya beraksi dengan baik dan masih ada pasukan yang memerlukan khidmatnya.

Saya akan terus bermain pada tempoh yang mendatang kerana masih boleh memberikan sumbangan terbaik kepada mana-mana pasukan.

“Setakat ini tidak ada perancangan untuk bersara kerana yakin masih dapat beraksi dengan baik, malah ramai kalangan pemain kita yang masih cergas dan terus bermain walaupun usia mencecah 35 tahun dan lebih,” katanya.

Justeru, Khair berazam untuk memastikan tempat dalam kesebelasan utama Negeri Sembilan sepanjang saingan musim ini dan mahu mendapatkan minit permainan lebih baik.

sumber:- HM

“Saya perlu bekerja keras meningkatkan prestasi supaya sentiasa menjadi pilihan jurulatih dan yang penting kehadiran saya di sini, benar-benar dapat memberikan impak positif kepada kekuatan dan seterusnya membantu kepada pencapaian pasukan,” katanya.