Sukan

FAM sah lantik dengan kontrak tiga tahun

BEKAS Pengarah Teknikal ‘All India Football Federation’ (AIFF), Scott O’Donell, 54, dilantik sebagai Pengarah Teknikal baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), dengan kontrak selama tiga tahun berkuat kuasa pada Rabu.

O’Donell akan menggantikan Datuk Ong Kim Swee, yang mengumumkan peletakan jawatan pada September lepas setelah menerima tawaran sebagai ketua jurulatih pasukan Liga Super Sabah FC. Kim Swee dilantik sebagai Pengarah Teknikal FAM pada 1 Januari 2021.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar ketika mengumumkan pelantikan itu berkata, tenaga pengajar FIFA kelahiran Sydney, Australia itu, dipilih berdasarkan pengetahuannya dalam arena bola sepak Asia Tenggara, dan kelayakan yang dimilikinya.

Sudah pasti beliau calon yang terbaik bagi jawatan ini, dengan kelayakan tinggi yang dimilikinya sebagai pengajar kejurulatihan FIFA.

“Beliau juga memahami dengan situasi bola sepak di Asia Tenggara dengan pengalaman beraksi bersama Kuala Lumpur dan dalam bidang kejurulatihan di Singapura dan Kemboja,” katanya pada sidang akhbar mengumumkan pelantikan itu.

O’Donell yang sebelum ini berkhidmat sebagai Pengarah Teknikal Capital Football, iaitu badan induk bola sepak wanita di ibu negara Australia, Canberra, sejak 2017, telah melepaskan jawatan itu pada November lepas.

Bekas pemain pertahanan itu juga sudah biasa dengan budaya bola sepak rantau ini, apabila pernah beraksi bersama Kuala Lumpur pada 1994-1995, selain bermain di Liga Singapura bersama Tampines Rovers (1996-97, 1999-2000) dan Marine Castle United (1998-99).

Selain menjadi jurulatih Geylang United (2003-2005) di Singapura, beliau juga mempunyai pengalaman sebagai Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Kemboja sebanyak dua kali, iaitu bermula 2005-2007 dan 2009-2010, sebelum menjadi Pengarah Teknikal AIFF bermula 2015-2017.

Sementara itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram optimis kehadiran O’Donell, dapat memantapkan pembangunan bola sepak di negara ini.

sumber:- SH

“Saya gembira untuk beliau bersama FAM, terutamanya untuk program pembangunan remaja. Beliau tahu budaya di sini, saya rasa akan menjadi lebih mudah untuk saya bekerjasama dengannya dan saya percaya kita boleh bangunkan lebih lagi untuk pembangunan pemain remaja terutamanya bagi bawah umur 17, 20 dan 23 tahun,” katanya. – Bernama