Sukan

‘Otai’ yakin jadi pencabar utama musim 2022

Selepas bersama Sabah FC sejak 2010, pemain ‘otai’, Alto Linus menyifatkan skuad yang sedang dibentuk Datuk Ong Kim Swee ketika ini sebagai barisan terbaik sekali gus mampu menjadi pencabar pada musim 2022.

Pemain berusia 35 tahun itu turut merasakan aura yang sangat berbeza dalam skuad ‘Tambadau’ kali ini apabila kehadiran ramai pemain berpengalaman serta berbakat menyaksikan mereka bukan lagi setakat pasukan pelengkap jadual.

Justeru, Alto mula memasang keyakinan betapa dia boleh mengucup satu lagi trofi kejuaraan bersama Sabah FC yang pasti akan menjadi kenangan jika menggantung but satu hari nanti.

Sejak bersama pasukan dari dahulu, saya sentiasa bercita-cita mahu meletakkan Sabah kembali garang dan digeruni seperti di era pertengahan 90-an dahulu sehingga awal tahun 2000.

“Musim 2022 mungkin menjadi detik terbaik untuk melihat Sabah seperti itu. Selain Liga Perdana yang saya menangi pada 2019, saya harap mampu menjuarai sebarang kejuaraan utama sebelum saya bersara,” katanya.

Dalam masa sama, Alto turut mengakui kehadiran Datuk Ong selaku jurulatih menyaksikan banyak perubahan positif berlaku sama ada di dalam mahupun di luar padang.

Beliau mengubah mentaliti serta karakter pemain Sabah untuk lebih positif dan percaya terhadap kemampuan masing-masing, satu pembaharuan yang saya akui memberikan kesan kepada kami selain soal disiplin.

“Malah saya teruja dengan kehadiran pemain berpengalaman seperti Baddrol Bakhtiar dan Khairul Fahmi Che Mat yang pasti menguatkan lagi pasukan ini,” katanya.

sumber:- BH

Sebagai rekod, Alto tidak pernah menyertai pasukan lain dalam kariernya kecuali T-Team pada 2014 namun hanya bersama mereka selama enam bulan sebelum pulang pada pertengahan musim.