Sukan

Jurulatih Brunei impikan Cheng Hoe

Datuk K Rajagobal menyifatkan Tan Cheng Hoe yang melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya semalam sebagai seorang yang jujur dan ikhlas.

Malah, bekas pengendali skuad Harimau Malaya yang kini membimbing pasukan kebangsaan Brunei, turut mengganggap bekas pembantu jurulatih yang pernah bersamanya sebelum ini sebagai rakan sekerja yang terbaik buat dirinya.

“Kamu sudah melakukan yang terbaik TCH (Cheng Hoe). Saya tahu keikhlasan dan kejujuran dalam kerja yang kamu lakukan. Rakan sekerja terbaik yang saya impikan dan saya bertuah ada kamu dalam karier kejurulatihan saya.

“Tanpa TCH di sisi saya, tidak mungkin saya dapat meraih kejayaan yang saya capai ketika bersama skuad kebangsaan. Lebih banyak perkara yang baik akan datang kepada kamu,” kata Rajagobal menerusi akaun Twitter miliknya.

Sebelum ini, Cheng Hoe pernah bertugas sebagai pembantu jurulatih kepada Rajagobal dan gandingan itu membawa Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan juara Piala AFF 2010.

Secara keseluruhan, Cheng Hoe sudah berkhidmat selama 14 tahun bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sejak bergelar penolong jurulatih skuad Bawah 20 tahun (B-20) pada 2005 dan sehingga 2013 sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan.

Selepas membimbing Kedah, dia kemudiannya kembali sebagai penolong jurulatih kepada Nelo Vingada pada 2017 sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih pada Disember 2017.

sumber:- BH

Sebagai jurulatih, Cheng Hoe membawa skuad negara muncul naib juara Piala AFF Suzuki 2018.