Sukan

Langkah terkebelakang dan semakin malap

Pengurangan kuota atau tidak membenarkan penggunaan pemain import akan menyebabkan Liga Malaysia (Liga M) terkebelakang dan semakin malap.

Perkara itu disuarakan pemerhati bola sepak tempatan, Dr Pekan Ramli susulan terdapat segelintir pihak yang mencadangkan kuota pemain import perlu dikurangkan kerana kehadiran mereka merencatkan perkembangan pemain tempatan, sekali gus mempengaruhi prestasi pasukan kebangsaan seperti yang berlaku di Piala AFF, baru-baru ini.

Menganggap perkara itu sebagai isu lama, Pekan berkata masalah utama adalah pasukan atau kelab sendiri yang gagal melahirkan pemain tempatan yang bagus.

Katanya, kehadiran pemain import sepatutnya dijadikan sebagai cabaran atau pembakar semangat kepada pasukan dan kelab untuk melahirkan pemain tempatan yang mampu menyaingi pemain import.

Nama pun liga profesional dan kita kena lihat dalam konteks nak memajukan liga. Liga kita mungkin tak ada tarikan kalau tiada pemain seperti Bergson (Da Silva), Ifedayo Olusegun dan Tchetche Kipre.

Kalau kita gagal nak melahirkan pemain yang baik, memang sampai bila kita akan menghadapi masalah ini. Jadi, kita ambil perkara itu sebagai positif dan jangan balik semula dengan isu nak kurangkan semula pemain import pula oleh kerana kita tak ada striker yang bagus.

Bila ada pemain import yang hebat daripada negara lain, ia menjadikan liga itu lebih berprestij dan akan menjana banyak pendapatan dari segi pemasaran, penajaan dan sebagainya.

Perkara sama berlaku di England sebelum ini dan mereka mengambil langkah proaktif. Kalau kita tengok juga Thailand, pemain tempatan mereka yang lebih menyerlah dan kita memang nak perkara sama berlaku dalam Liga M.

“Kita sudah liga profesional, sepatutnya isu pemain import ini tidak timbul dan yang penting adalah kesedaran kepada setiap pasukan untuk melahirkan pemain setanding atau lebih baik dari pemain import,” katanya kepada BH Sukan.

Selain itu, Pekan yang juga Ketua Seksyen Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkata, pengurangan kuota import turut akan memberi kesan kepada wakil negara yang akan bersaing di peringkat lebih tinggi termasuk Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC.

Saya sokong sebenarnya kalau tiada pemain import, tapi adakah liga kita akan menarik? Adakah pasukan yang bersaing di peringkat Asia akan bersetuju?

Mereka bukan akan bersaing di Liga Super saja, mereka akan bersaing di tahap lebih tinggi. Jadi kalau tak ada pemain import bagaimana mereka nak bersaing dengan kelab yang lebih tinggi?

sumber:- BH

“Kita tak boleh tengok berdasarkan satu aspek sahaja. Kalau aspek profesional, kita kena tengok secara menyeluruh sebab kita akan bersaing dalam ACL, AFC. Takkan pasukan seperti JDT bila hanya dalam ACL saja mereka nak guna import, itu tak kena,” katanya.