Sukan

Selagi khidmat saya diperlukan

“Selagi khidmat saya diperlukan, saya akan terus kekal di sini sehingga penghujung karier kerana selepas 14 tahun, berat rasanya untuk bermain dengan pasukan lain,” ujar penjaga gol Negeri Sembilan FC (NSFC), Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman.

Kaharuddin yang kini sudah menjangkau usia 30 tahun, mengakui sangat terharu kerana diberikan peluang lebih dari satu dekad bersama skuad Hobin Jang Hobin selain melalui pelbagai zaman suka dan duka bersama pasukan itu.

Malah, Kaharuddin mendedahkan dia pernah didatangi tawaran dari pasukan lain namun menolaknya kerana sukar buat dirinya untuk menyarung jersi pasukan selain Negeri Sembilan.

Saya anak jati Seremban, mungkin rezeki telah ditetapkan di sini malah faktor tidak mahu berjauhan dari keluarga menjadi punca utama saya mahu kekal di Negeri Sembilan.

“Sepanjang saya di sini, memang ada dapat tawaran dari pasukan lain tetapi saya tolak, saya juga telah mengambil kursus kejurulatihan sebagai perancangan awal menjelang persaraan sambil berharap ada rezeki di bidang itu satu hari nanti,” katanya.

Kaharuddin memulakan karier bersama skuad Piala Presiden Negeri Sembilan pada 2009 sebelum khidmatnya turut diserap dalam pasukan senior pada tahun berikutnya.

Pada aksi final Piala FA 2010 berdepan Kedah, dia menjadi penjaga gol kedua selepas Sani Anuar Kamsani yang menyaksikan kejuaraan buat Negeri Sembilan.

Walaupun musim 2021 dia kerap berada di bangku simpanan, namun pengalamannya masih ditagih Negeri Sembilan bagi mengharungi saingan Liga Super musim depan.

Sementara itu, pemain berpengalaman itu berharap musim 2022 bakal menjadi permulaan kebangkitan semula buat Negeri Sembilan di persada Liga Malaysia selepas melalui era yang suram beberapa musim lalu.

Menurutnya, pihaknya berharap kejayaan Negeri Sembilan muncul juara Liga Perdana tahun ini sebagai permulaan yang baik untuk lebih yakin mengharungi saingan Liga Super musim depan.

Kalau boleh saya hendak pasukan berada lama dalam di Liga Super, malah mahu nama Negeri Sembilan kembali digeruni seperti dahulu apabila kami bersilih ganti masuk final Piala Malaysia dan Piala FA.

Semua pasukan takut hendak jumpa Negeri Sembilan pada masa itu malah saya berbangga berada dalam skuad itu semasa permulaan karier bersama pasukan.

sumber : arena metro

“Harap memori serta detik manis itu boleh berulang lagi buat Negeri Sembilan,” katanya.