Sukan

Rezal sama sekali terkejut

“Saya terima dengan hati terbuka dan ini sebagai pengalaman baru buat saya selaku jurulatih”.

Demikian luahan pengendali Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya yang menerima keputusan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menggantungnya selama dua bulan bermula Khamis lalu.

Katanya, dia sama sekali terkejut dengan hukuman berkenaan ketika musim baharu saingan Liga Malaysia (Liga M) bakal membuka tirainya hujung bulan depan.

Saya terkejut juga bila dapat tahu mengenai keputusan itu. Tapi saya ambilnya dari sudut positif dan anggap sebagai pelajaran dan pengalaman baru sebagai jurulatih.

“Saya akan berbincang dengan pengurusan pasukan dan saya akan kemukakan rayuan jika dibenarkan oleh FAM,” katanya kepada Arena Metro.

Semalam, menerusi keputusan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM kali kelima bagi penggal 2021-2025 itu menyaksikan Rezal digantung selama dua bulan daripada terbabit dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan kesukanan bolasepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya dan didenda sebanyak RM10,000.

Begitupun, tempoh penggantungan itu disingkatkan kepada sebulan dahulu dengan sebulan lagi ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik Rezal.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Rezal didapati melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama dengan Artikel 7 dan Artikel 82 Statut FAM atas tindakannya yang membuat kenyataan atau komen semasa temu ramah berhubung isu yang membabitkan FAM tanpa kebenaran.

Dalam perkembangan sama, Rezal yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, walaupun dirinya digantung namun fokus dan persiapan skuad The Red Warriors untuk menghadapi saingan Liga Perdana tetap berjalan lancar dan tidak akan terganggu.

“Kita tetap fokus dengan persiapan kita. Ketika ini, pasukan sedang berada dalam fasa persediaan dan barisan penolong jurulatih akan membantu saya untuk siapkan pasukan,” katanya.

sumber:- HM

Untuk rekod, Reezal dilantik secara rasmi sebagai pengendali Kelantan FC pada 19 November lalu selepas memangku posisi ketua jurulatih menggantikan Marco Ragini pada September lalu.