Sukan

Peluang tebus kekalahan

Pasukan bola sepak negara berpeluang membalas d3ndam terhadap Indonesia apabila skuad bawah 23 tahun (B-23) negara diundi bersama Sang Garuda dalam saingan Kumpulan B Kejuaraan B-23 AFF 2020 di Kemboja, Februari depan.

Menerusi majlis undian yang berlangsung secara dalam talian itu hari ini, Indonesia yang juga juara bertahan dan Malaysia akan disertai Myanmar dan Laos dalam Kumpulan B.

Kumpulan A pula menampilkan Kemboja, Timor Leste, Filipina dan Brunei sementara saingan sengit akan disaksikan dalam Kumpulan C menerusi penyertaan naib juara 2019, Thailand, Vietnam dan Singapura.

Hanya tiga juara kumpulan dan satu naib juara kumpulan terbaik akan mengesahkan tiket ke separuh akhir.

Untuk rekod, ini tugasan sulung buat bimbingan Brad Maloney sebelum berdepan tiga lagi kejohanan besar yang akan berlangsung pada tahun depan.

Selepas kejohanan peringkat AFF pada Februari itu, mereka akan berentap di Sukan Sea Vietnam pada Mei disusuli Piala Asia B-23 di Uzbekistan pada Jun.

Skuad B-23 juga akan mewakili negara pada Sukan Asia di Hangzhou yang akan berlangsung pada September. Pencapaian terbaik skuad negara adalah mengakhiri saingan di tempat keempat dalam penyertaan di Thailand pada 2005.

sumber:- HM

Terdahulu pada saingan Piala AFF 2020 yang berlangsung di Singapura baru-baru ini, skuad senior Malaysia terpaksa pulang awal selepas tewas kepada Indonesia 1-4 dalam aksi terakhir Kumpulan B.