Kehadiran semula pemain sayap, Syafiq Ahmad yang dipinjamkan kelab Johor Darul Ta’zim FC (JDT) ke pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mampu memberi kekuatan baharu dalam corak s3rangan skuad Hijau Kuning bagi menempuhi saingan Liga Malaysia dan Piala AFC musim depan.

Bagai sirih pulang ke gagang, pengesahan kepulangan Syafiq yang diumumkan oleh media rasmi KDA FC semalam menjadi langkah penting dalam usaha Kedah mempertajamkan barisan s3rangan apabila bergandingan dengan barisan lengkap pemain baharu skuad Hijau Kuning yang akan diperkenalkan pertengahan Januari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC Khamal Idris Ali ketika dihubungi berkata, pihaknya amat berbesar hati dan berterima kasih kepada pemilik JDT FC, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan pengurusan JDT selepas urusan mendapatkan kembali bekas pemain itu ke Kedah secara pinjaman selama setahun selesai dimuktamadkan.

Pengalaman selama empat musim yang ditimba Syafiq bersama skuad JDT sejak 2018 menjadi elemen penting yang boleh dimanfaatkan seterusnya bagi meningkatkan prestasi skuad Kedah secara amnya.

“Sentuhan ketajamannya menghasilkan gol ketika beraksi bersama JDT dan Harimau Malaya juga bakal memperkuatkan lagi barisan serangan baharu untuk Kedah yang menghadapi cabaran lebih besar pada musim depan.” katanya.

Menurut Khamal lagi kehadiran semula Syafiq mampu menyemarakkan sokongan peminat Kedah yang selama ini menanti kepulangan pemain berusia 26 tahun itu selepas mempamerkan reputasi baik termasuk menjaringkan gol di peringkat Liga Juara-Juara Asia (ACL) bersama JDT.

“Saya berharap Syafiq akan terus bersemangat dengan pengalaman baharu dalam kariernya apabila bergabung dengan barisan pemain baharu KDA FC yang akan diumumkan secara lengkap pada pertengahan Januari depan,” katanya.

Syafiq mula mencipta nama sejak beraksi di peringkat remaja dan mula menyerlah selepas menyertai skuad Piala Presiden Kedah bermula 2012 hingga 2014.

sumber:- HM

Beliau antara pemain muda berusia 18 tahun yang mula mencipta nama bersama skuad utama Kedah dan skuad bawah 23 tahun negara bermula 2015.