Sukan

KDA FC sah tandatangan

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Rimbun Emas Defence Sdn Bhd (REDS Sdn Bhd) sebagai rakan rasmi KDA FC bagi kategori Akademi Bola Sepak Remaja KDA FC 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDA FC, Khamal Idris Ali berkata, hasil jalinan kerjasama antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Red Defence serta penubuhan Akademi Hijau Kuning FC antara lain diharap dapat menggilap bakat muda bola sepak Kedah.

Khamal Idris memberitahu, akademi berkenaan juga akan membantu menghasilkan pemain berkualiti dan menjadi antara pengeluar pemain berbakat di Malaysia dan peringkat dunia.

Melalui MoU ini, KDA FC memainkan peranan membantu Reds Defence memastikan urus tadbir dan tata kelola akademi bola sepak remaja swasta melalui sokongan nasihat dan rundingan dari sumber perunding yang berpengalaman.

“Selain perkongsian secara rundingan, jalinan antara KDA FC dan akademi Hijau Kuning FC mampu menyemarakkan lagi semangat pemain muda melalui struktur pemasaran yang lebih luas di seluruh Kedah,” katanya.

Beliau berkata sedemikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Rakan Rasmi Akademi Bola Sepak Remaja KDA FC di Wisma PKNK, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Rimbun Emas Defense System Sdn Bhd, Mohd Talhah Zainon.

Tambah beliau, kerjasama ini turut diharap memudahkan pemain berbakat untuk diserap dalam mana-mana kelab bola sepak profesional.

Terima kasih kepada Mohd Talhah yang begitu bersungguh-sungguh membangunkan bola sepak melalui siri latihan pemain daripada pelbagai peringkat umur dan kerap menyertai kejohanan tempatan.

“Idea penubuhan akademi Hijau Kuning FC ini merupakan proses awal untuk bergerak lebih jauh dengan menjalankan kerjasama bersama kelab bola sepak antarabangsa,” katanya

Beliau berpendapat usaha pihak Reds Defence melalui penubuhan Akademi Hijau Kuning FC seharusnya disokong oleh semua pihak dengan penubuhan projek pembangunan bersistematik.

Beliau turut menyeru semua pihak berkepentingan dan berminat bekerjasama dengan KDA FC menghubungi mereka untuk berunding berkenaan pelan kerjasama yang telah disediakan pihak kelab.

sumber:- SH

Khamal Idris memberitahu, antaranya termasuk melalui pelan penajaan, pelan pengiktirafan rakan rasmi kelab dan pelan perkongsian perniagaan sepanjang musim 2022.