Sukan

Akan guna 100 peratus pemain tempatan

Selepas kekal dalam saingan Liga Super, pengurusan skuad Petaling Jaya (PJ) City FC tidak bercadang membuat perubahan dengan mendapatkan khidmat tenaga import musim depan.

Pengurus PJ City, K Rajendran menegaskan pihaknya akan terus kekal menggunakan khidmat pemain tempatan seperti dipraktikkan musim ini walaupun saingan musim depan dijangka lebih mencabar.

“Dari segi persiapan musim depan, memang ada beberapa pemain baharu yang dibawa masuk dalam pasukan antaranya termasuk dari Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Melaka United.

“Sehingga kini, kita sudah menandatangani kontrak enam pemain baharu, namun saya tidak dapat umumkan nama pemain terbabit kerana kami merancang mengumumkannya dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Skuad The Phoenix kendalian P Maniam menamatkan saingan di tangga ketujuh Liga Super dan turut memberi tentangan sengit dalam kempen Piala Malaysia.

Rajendran berkata, pihaknya mahu terus mempromosikan bakat tempatan dan memberi ruang sepenuhnya kepada mereka terutama bakat muda menunjukkan kebolehan.

sumber:- BH

Katanya, ini terbukti apabila tiga pemain PJ City iaitu Darren Lok, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi dan R Kogileswaran dipanggil menyertai skuad kebangsaan.