Sukan

Bukan setakat pemain

Bukan setakat pemain, malah kantung jurulatih khususnya warga tempatan turut bakal terkesan selepas pasukan Liga Malaysia (Liga M) dijangka mengambil keputusan untuk mengurangkan perbelanjaan musim depan.

Situasi itu diakui Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) B Sathianathan yang mengesahkan ada kemungkinan jurulatih perlu berdepan pengurangan gaji sehingga 20 peratus bagi musim 2022.

Bagaimanapun, Sathianathan yang juga Pengarah Teknikal Sarawak United itu menegaskan pengurangan gaji bukanlah satu isu yang besar memandangkan semua jurulatih memahami situasi ketika ini apatah lagi ekonomi masih dihimpit C0VID-19.

Memang ada banyak pasukan yang potong bajet jadi sebagai jurulatih dan juga pemain, kita mesti berada pada realiti dan tahu keadaan kita. Duduk dalam industri yang sama, kita perlu membantu sama sama lain.

“Mungkin (pemotongan) dalam 20 peratus. Masa zaman kegemilangan dulu, memanglah ‘syok’ tetapi kita harus faham situasi juga dan terima hakikat pemotongan gaji akan berlaku. Saya rasa semua jurulatih kita faham dengan situasi ini,” katanya kepada BH Sukan.

Terdahulu, BH Sukan melaporkan susulan perbelanjaan pasukan untuk Liga M musim depan dijangka menurun, keadaan sama diramal akan berlaku kepada pendapatan atau gaji yang ditawarkan kepada pemain.

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah, berkata jumlah gaji yang ditawarkan atau diterima pemain dijangka menurun antara 20 hingga 25 peratus.

sumber:- BH

Beliau yang berpengalaman luas sebagai ejen pemain berkata keadaan itu dipengaruhi langkah pasukan yang bakal melakukan perbelanjaan lebih berhemah kesan daripada keadaan ekonomi semasa terutama ketika berdepan C0VID-19.