Sukan

Awas jika tidak mahu digantung

“Awas jika tidak mahu digantung daripada aktiviti bola sepak”.

Itu amaran yang diberikan buat semua pemain dan pegawai yang menyertai kempen Piala AFF di sini agar tidak mendekati mahupun terbabit dengan aktiviti bookie atau lebih tepat mengatur perlawanan.

Peringatan keras itu dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Piala AFF 2020, Lim Kia Tong kepada Arena Metro selepas wujud khabar angin mengenai aktiviti tidak bermoral itu di laman sosial.

Jelas Kia Tong yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) lagi, pihaknya bersama Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) di Singapura sentiasa bekerjasama rapat bagi memantau perjalanan kempen Piala AFF kali ini.

Katanya, semua 10 pasukan sudah diberi taklimat di mana pihak berkuasa tidak akan berkompromi dalam soal integriti ini.

AFF mempunyai dasar toleransi sifar terhadap rasuah mengatur perlawanan bola sepak. Kami dan CPIB sentiasa berwaspada dan memantau secara dekat agar isu memanipulasi perlawanan tidak berlaku.

Hukuman berat dan sewajarnya akan menanti pesalah termasuk larangan daripada aktiviti bola sepak akan dikenakan kepada mana-mana pemain atau pegawai yang disabitkan kesalahan di mahkamah undang-undang (undang-undang Singapura) atau oleh badan kehakiman AFF atas kesalahan rasuah bola sepak.

“Sebelum kejohanan dimulakan, semua pemain dan pegawai pasukan sudah diberi taklimat oleh pihak berkuasa tempatan berkaitan apa yang dimaksudkan dengan rasvah atau mengatur perlawanan bola sepak dan akibat teruk yang datang bersamanya,” katanya kepada Arena Metro di sini.

Terdahulu, kecoh di laman sosial kononnya kemenangan besar Malaysia ke atas Laos dalam saingan Kumpulan B Piala AFF dikatakan sudah diatur oleh bookie.

Malah, pemilik akaun yang bernama ‘Oriental Gambl3r’ itu turut meminta siasatan dilakukan oleh pihak penganjur.

Skuad Harimau Malaya menang 4-0 pada Khamis lalu bagi mengatasi Laos, yang sebelum itu menunjukkan aksi lebih bertenaga ketika tewas 2-0 kepada Vietnam yang kemudiannya menundukkan Malaysia dengan 0-3.

sumber:- HM

Bagaimanapun jurulatih Laos, V Selvaraj yang ditanya mengenai dakwaan itu menganggap ia tidak berasas dan anak buahnya sudah mempamerkan aksi terbaik namun keputusan positif yang diharapkan masih belum diraih pasukan.