Sukan

Sah jadi Import KDA FC

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kembali menggunakan khidmat pemain Korea Selatan apabila mengesahkan bekas pemain Melaka United, Jang Suk Won milik skuad Hijau Kuning pada saingan Liga Malaysia dan Piala AFC pada musim depan.

Pengumuman pemain import pertama musim depan itu dibuat media rasmi KDA FC semalam, dengan menyaksikan kehadiran pemain import kuota Asia dari Korea Selatan kembali membarisi skuad Hijau Kuning sejak kali terakhir mengikat pemain pertahanan Bang Seung Hwan pada musim 2015 hingga 2016.

KDA FC dengan ini mengumumkan pemain import baharu pertama untuk musim 2022, Jang Suk Won.

Pengalaman Jang yang beraksi dalam liga tempatan dijangka memberi kelebihan untuknya menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan ketika pramusim ini dan posisi tengah pertahanan KDA FC kini di bawah tanggungjawabnya apabila bakal bergandingan dengan beberapa muka baru.

“Jang Suk Won, berjuanglah sejiwa murni, tekun berani sesungguh hati,” katanya.

Pengalaman yang dikutip Suk Won selama tiga tahun iaitu bersama Melaka United dalam Liga Malaysia pastinya ditagih Kedah selepas skuad berkenaan tidak menyambung khidmat pertahan dari Brazil Renan Alves yang beraksi selama tiga musim bersama Kedah.

Pemain berusia 32 tahun ini pernah menampilkan keupayaannya bersama Seongnam FC yang beraksi dalam K League 1, dan diikuti beraksi dalam J League 2 bersama kelab Fagiano Okayama FC sebelum menyambung aksinya bersama Melaka United sejak 2017.

sumber:- HM

Selain Jang dan Bang, Kedah juga pernah mengikat pemain kelahiran Seoul, Korea Selatan iaitu Namkung Woong yang turut beraksi cemerlang bersama Kedah pada musim 2014.