Sukan

Nilai Terkini Arif Aiman

Nilai atau ‘saham’ bintang bola sepak negara, Arif Aiman Hanapi melonjak selepas dinobatkan selaku Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK21) Sabtu lalu.

Menerusi semakan di laman sesawang www.transfermarkt.co.uk, nilai Arif pada 21 Julai 2021 adalah pada tanda harga 120,000 Euro (RM596,000).

Bagaimanapun, selepas dia membantu skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Liga Super dan beraksi di pentas final Piala Malaysia serta diumumkan sebagai pemenang MVP musim ini, menyaksikan nilainya naik sehingga 150,000 Euro (RM716,000).

Kenaikan hampir RM200,000 itu buat pemain yang berusia 19 tahun pada 4 Mei lalu itu memang tepat, dan kemungkinan tanda harga Arif bakal melonjak lagi sekiranya dia berjaya membantu skuad Harimau Malaya di Piala AFF di Singapura ketika ini.

Menurut ejen pemain, Effendi Jagan Abdullah, nilai pemain sayap lincah itu boleh mencecah hingga sejuta hujung tahun ini jika dia mampu menyerlah bersama skuad negara.

Jelas Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd itu lagi, faktor utama yang menyebabkan nilai Arif meningkat juga disebabkan oleh jenama JDT yang cukup gah antara kelab terbaik di rantau ini.

Peningkatan nilai Arif itu kalau ikutkan disebabkan banyak faktor. Bukan saja kerana dia menang MVP dan piala musim ini, tetapi juga oleh sebab JDT.

Apabila seseorang pemain bermain dengan kelab besar, nilai pemain juga akan meningkat. Contoh di Eropah, nilai pemain di sana akan tinggi kalau datang dari kelab hebat, tetapi kalau kelab biasa-biasa, nilai mereka mungkin rendah.

Faktor usia Arif yang muda juga menyumbang kepada kenaikan nilai dia. Tetapi saya jangkakan, kalau dia boleh bermain baik dengan skuad negara di Singapura dalam Piala AFF nanti, mungkin nilai dia akan naik sampai RM1 juta.

“Bila dia main untuk negara di pentas antarabangsa, nilai dia akan naik lebih tinggi dan ia baik untuk dirinya dan kelab dia juga,” katanya kepada Arena Metro.

Terdahulu, Arif melengkapkan musim gemilangnya apabila dinobatkan selaku pemenang MVP dalam majlis ABK21 yang diadakan secara virtual itu.

Paling menarik, pemain berusia 19 tahun itu melakar sejarah menjadi pemain paling muda merangkul anugerah utama itu selepas rakan sepasukannya, Safawi Rasid, melakukannya pada 2018 ketika usia 21 tahun.

sumber:- HM

Arif, yang menjadi antara watak penting JDT menjulang trofi kelapan Liga Super musim ini selain Piala Sumbangsih turut mengungguli Anugerah Striker Terbaik dan Anugerah Pemain Muda Terbaik.