Sukan

Pengganti Dollah Salleh di Sri Pahang FC

Ketua jurulatih Sri Pahang FC bawah 21 tahun musim ini, Christophe Gamel dikatakan bakal mengambil alih tugas Dollah Salleh bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2022.

Gamel yang juga bekas penolong ketua jurulatih Sri Pahang pada awal musim ini adalah calon tunggal setakat ini untuk mengendalikan skuad Tok Gajah.

Menurut sumber, pemilihan Gamel itu bersandarkan pengalaman termasuk pernah mengendalikan skuad kebangsaan Fiji.

“Setakat ini, hanya Gamel yang menjadi calon tunggal untuk melatih Sri Pahang musim 2022. Bagaimanapun, keputusan muktamad akan diumumkan dalam tempoh terdekat,” kata sumber itu.

Pada masa sama, sumber itu berkata, khidmat Dollah masih lagi diperlukan kelab berkenaan yang dikatakan melatik bekas pemain kebangsaan itu sebagai pengurus pasukan.

“Dengan keputusan itu nanti diharapkan akan membantu Sri Pahang mencatat keputusan terbaik bagi musim depan,” katanya.

Musim ini, Sri Pahang menamatkan kedudukan ke-10 dalam saingan Liga Super manakala Piala Malaysia sekadar beraksi di peringkat kumpulan.

Di awal musim, kelab itu mengambil jurulatih import, Thomas Dooley sebelum diganti Dollah. Namun, dengan keputusan yang dicapai musim ini, Sri Pahang membuat keputusan untuk melantik jurulatih baharu.

Setakat ini, skuad Tok Gajah membuat rombakan besar-besaran bagi menghadapi saingan Liga M musim depan apabila melepaskan 14 pemainnya musim ini termasuk kapten pasukan, Muslim Ahmad dan lima tenaga import.

Selain Muslim, lima pemain import itu adalah Herold Goulon, Abubakar Yakubu, Kenny Athiu, Manuel Hidalgo dan Aung Kaung Mann.

sumber:- HM

Pemain lain adalah Helmi Eliza Elias, Faisal Rosli, Fazly Mazlan, Zazrir Naim, Ezanie Salleh, Arisazri Juhari, Hazri Rozali dan Faizal Rani.