Sukan

KDA FC buat kejutan 4 ‘A’

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) membuat kejutan apabila mengikat empat pemain tempatan dari pasukan Penang FC bagi menguatkan barisan pertahanan dan tengah untuk saingan Liga Malaysia dan Piala AFC musim depan.

Menerusi pengumuman melalui laman rasmi KDA FC semalam, KDA FC mengesahkan kemasukan Al-Hafiz Harun, Amer Azahar, Azmeer Aris dan Khairu Azrin Khazali atau digelar ‘Acong’ yang dilihat bakal memantapkan perancangan awal yang sedang direncanakan KDA FC.

Al-Hafiz Harun adalah pemain yang berasal dari Sik Kedah berusia 27 tahun dan menyertai skuad Penang FC sejak 2019.

Dua bekas pemain Penang FC yang turut diumumkan ialah pemain pertahan kiri Azmeer Aris Nor Rashid 22, dan pemain tengah Amer Azhar 26, yang beraksi dengan cukup berkeyakinan meletakkan Penang FC ditangga ketiga Liga Super musim ini.

Selepas KDA FC mengumumkan tiga pemain berkenaan, nama seorang lagi pemain tengah berpengalaman berusia 30 tahun iaitu Khairu Azrin Khazali pula menyusul lewat petang semalam sekali gus menceriakan suasana dalam laman media sosial.

Dia adalah antara pemain tengah berpengalaman dengan beberapa pasukan besar sebelum ini dan membina karier bola sepak bermula dari skuad Piala Presiden PKNS.

Namanya menjadi perhatian ketika beraksi bersama PKNS FC, Melaka United, Terengganu, Felda United FC dan memilih bersama skuad Harimau Kumbang sejak dua musim lalu.

KDA FC sebelum itu juga mengumumkan nama tiga pemain muda dari skuad Piala Presiden Kedah yang beraksi bersama skuad senior Kedah yang akan diserapkan ke skuad utama pada musim ini iaitu Fikhri Zulkiflee, Kamil Akmal dan Afeeq Iqmal.

sumber:- HM

Selain nama-nama baharu yang sudah diikat KDA FC untuk musim depan, skuad Hijau Kuning setakat ini turut membuat pengumuman mengekalkan pemain sedia ada seperti Fayadh Zulkifli, Ariff Farhan, Asnan Ahmad, Aiman Afif, Fadzrul Danel, Loqman Hakim dan Azammuddin Akil.