Sukan

Seorang lagi pemain bakal tinggalkan TFC

Striker import kelahiran Brazil, David Da Silva dikatakan antara pemain yang bakal dilepaskan pasukan Terengganu FC (TFC) dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Sebelum ini, pertahanan tengah, Muhammad Mohd Fauzi menjadi pemain pertama meninggalkan pasukan itu bagi menimba pengalaman dengan pasukan baharu walaupun khidmatnya masih diperlukan skuad itu.

Menurut sumber TFC, Da Silva yang gagal mempamerkan aksi sebagaimana yang diharapkan sepanjang musim ini, bakal diketepikan dalam senarai pemain import skuad Penyu musim depan.

Sebelum menyertai TFC, bekas pemain kelab Persebaya Surabaya dalam Liga Indonesia itu adalah seorang striker yang baik apabila berjaya mel3dak 19 jaringan bersama kelab itu musim 2019-2020 sebelum menyertai TFC pada tahun ini.

Namun mungkin nasib tidak menyebelahinya sepanjang bersama TFC selepas gagal memperagakan aksi sebenar sehingga memaksa jurulatih menyenaraikan striker Terengganu FC II (TFC II), Jordan Mintah terutama pada pentas Piala Malaysia.

“Jadi Da Silva berada dalam senarai pemain yang akan dilepaskan dan TFC bakal menyenaraikan striker baharu bagi memantapkan lagi jentera s3rangan pasukan,” kata sumber itu ketika dihubungi.

Sebelum ini peminat setia skuad Penyu menjadikan Da Silva sebagai sasaran kemarahan mereka selepas striker utama itu dilihat kurang berkesan dan gagal memainkan peranannya untuk meledak jaringan sepanjang saingan musim ini.

Terdahulu sumber itu menjelaskan striker import pasukan ‘adik’, Terengganu FC II (TFC II), Jordan Mintah antara pemain yang akan dikekalkan selepas berjaya mempamerkan aksi bertenaga musim ini, turut dirisik penyerang kelahiran Liberia, Kpah Sherman.

Ketika ditanya mengenai status Makan Konate, sumber itu berkata, pemain tengah kelahiran Mali itu masih berbaki kontrak sehingga akhir bulan ini dan keputusan sama ada dia bakal dilepaskan ataupun sebaliknya masih dalam peringkat perbincangan.

“Kita belum memuktamadkan lagi kedudukan Konate sama ada akan dilepaskan ataupun sebaliknya, jadi kita akan putuskan sebelum kontrak pemain itu berakhir,” kata sumber itu.

sumber:- HM

Musim ini TFC menamatkan saingan Liga Super di kedudukan keempat dan separuh akhir Piala Malaysia sekali gus gagal meloloskan diri beraksi di pentas Piala AFC musim depan.